Jenis darah

Jenis darah (atau kumpulan darah) ialah pengelasan darah berasaskan kehadiran atau ketiadaan bahan-bahan antigen terwaris pada permukaan sel darah merah (SDM). Antigen-antigen ini berbentuk protein, karbohidrat, glikoprotein, atau glikolipid, bergantung pada sistem kumpulan darah. Sesetengah antigen ini juga didapati pada permukaan jenis sel lain pada pelbagai jenis tisu. Dari satu alel (atau gen-gen yang terkait rapat), sebilangan antigen permukaan sel darah merah ini bersama-sama membentuk sebuah sistem kumpulan darah.[1]Jenis darah adalah terwaris dan mewakili sumbangan dari kedua-dua ibu bapa. Sejumlah 30 sistem kumpulan darah manusia kini diitiraf oleh Persatuan Pemindahan Darah Antarabangsa (International Blood Transfusion Society, ISBT).[2]

Antara penentu jenis darah ialah antigen kumpulan darah ABO yang ada dalam sel darah merah.

Ramai wanita hamil mengandung janin yang berlainan jenis darahnya, dan badan si ibu boleh menghasilkan antibodi sebagai perlindungan dari SDM janin. Adakalanya, antibodi keibuan ini merupakan IgG, sejenis imunoglobulin kecil yang boleh merentasi uri lalu menyebabkan hemolisis SDM janin yang boleh membawa kepada penyakit hemolisis bayi baru lahir, iaitu penyakit kiraan sel darah rendah yang boleh menjadi ringan atau parah.[3]

Sistem kumpulan darah

Sejumlah 30 sistem kumpulan darah manusia kini diitiraf oleh Persatuan Pemindahan Darah Antarabangsa (International Blood Transfusion Society, ISBT).[2] Satu jenis darah yang lengkap akan memerikan semua 30 bahan pada permukaan SDM, dan jenis darah seseorang ialah salah satu daripada 600 antigen kumpulan darah yang dikenali,[4] tetapi kebanyakan antigen ini adalah jarang ditemui atau tertumpu pada kelompok etnik tertentu.

Selalunya, seseorang hanya berdarah sejenis sepanjang hayat. Jarang sekali jenis darah seseorang berubah, hasil penambahan atau pengurangan antigen akibat jangkitan, kemaglinanan, atau penyakit autoimun.[5][6][7][8] Satu contoh fenomena jenis darah berubah ini ialah Demi-Lee Brennan, seorang warga Australia yang berubah jenis darah selepas pemindahan hati.[9][10]Satu lagi punca perubahan jenis darah yang lebih ketara ialah pemindahan sumsum tulang yang dilakukan untuk penyakit-penyakit leukemia, limfoma dan sebagainya. Jika seseorang menerima sumsum tulang dari seseorang yang berlainan jenis ABO (cth., pesakit berjenis A menerima sumsum tulang berjenis O), maka jenis darah pesakit itu akan berubah kepada jenis penderma.

Sesetengah jenis darah dikaitkan dengan pewarisan penyakit lain, misalnya: antigen Kell yang adakalanya dikaitkan dengan sindrom McLeod.[11] Ada jenis-jenis darah tertentu yang boleh mempengaruhi kerentanan seseorang kepada jangkitan, misalnya ketahanan dari spesies malaria tertentu yang ada dalam orang yang ketiadaan antigen Duffy.[12] Antigen Duffy yang dipercayai kesan pemilihan semula jadi, kurang ditemui di kalangan kelompok etnik dari kawasan-kawasan yang kerap terjadi jangkitan malaria.[13]

Sistem kumpulan darah ABO

Sistem kumpulan darah ABO - rajah menunjukkan rantaian karbohidrat yang menentukan jenis darah ABO.

Sistem ABO ialah sistem kumpulan darah terpenting dalam bidang pemindahan darah manusia. Antibodi-antibodi anti-A dan anti-B yang berkaitan ini biasanya berupa antibodi "Imunoglobulin M", atau singkatannya IgM. Antibodi IgM ABO dihasilkan pada tahun-tahun pertama kehidupan dengan dipekakan kepada bahan-bahan persekitaran seperti makanan, bakteria, dan virus. "O" dalam ABO disebut "0" (kosong/sifar) dalam sesetengah bahasa lain.[14]

FenotipGenotip
AAA atau AO
BBB atau BO
ABAB
OOO

Sistem kumpulan darah Rh

Sistem Rh ialah sistem kumpulan darah kedua terpenting dalam bidang pemindahan darah manusia, kini dengan 50 antigen. Antigen Rh yang terpenting ialah antigen D kerana inilah di antara lima antigen Rh utama yang paling mampu merangsang tindak balas sistem imun. Ramai individu berjenis darah D-negatif tiada antibodi IgG atau IgM anti-D, kerana antibodi anti-D biasanya tidak dihasilkan oleh pemekaan kepada bahan-bahan persekitaran. Namun begitu, individu D-negatif boleh menghasilkan antibodi IgG anti-D berikutan peristiwa yang memekakan: mungkin pemasukan darah fetomaternal dari janin ketika mengandung, atau kadang-kadangnya pemasukan darah yang bersel darah merah D-positif.[15] Dalam hal-hal sedemikian, boleh timbulnya jangkitan penyakit Rh.[16]

Taburan ABO dan Rh mengikut negara

Taburan ABO dan Rh mengikut negara (purata penduduk)
NegaraBil. penduduk[17] O+ A+ B+AB+ O- A- B-AB-
Afrika Selatan[18]49,320,00039%32%12%3%7%5%2%1%
Amerika Syarikat[19]307,212,12337.4%35.7%8.5%3.4%6.6%6.3%1.5%0.6%
Arab Saudi[20]28,686,63348%24%17%4%4%2%1%0.23%
Australia[21]21,262,64140%31%8%2%9%7%2%1%
Austria[22]8,210,28130%33%12%6%7%8%3%1%
Belgium[23]10,414,33638%34%8.5%4.1%7%6%1.5%0.8%
Belanda[24]16,715,99939.5%35%6.7%2.5%7.5%7%1.3%0.5%
Brazil[25]198,739,26936%34%8%2.5%9%8%2%0.5%
Denmark[26]5,500,51035%37%8%4%6%7%2%1%
Estonia[27]1,299,37130%31%20%6%4.5%4.5%3%1%
Finland[28]5,250,27527%38%15%7%4%6%2%1%
Hong Kong SAR[29]7,055,07140%26%27%7%0.31%0.19%0.14%0.05%
Iceland[30]306,69447.6%26.4%9.3%1.6%8.4%4.6%1.7%0.4%
India[31]1,166,079,21736.5%22.1%30.9%6.4%2.0%0.8%1.1%0.2%
Ireland[32]4,203,20047%26%9%2%8%5%2%1%
Palestine[33]7,233,70132%34%17%7%3%4%2%1%
Jerman[34]82,329,75835%37%9%4%6%6%2%1%
Kanada[35]33,487,20839%36%7.6%2.5%7%6%1.4%0.5%
New Zealand[36]4,213,41838%32%9%3%9%6%2%1%
Norway[37]4,660,53934%42.5%6.8%3.4%6%7.5%1.2%0.6%
Perancis[38]62,150,77536%37%9%3%6%7%1%1%
Poland[39]38,482,91931%32%15%7%6%6%2%1%
Portugal[40]10,707,92436.2%39.8%6.6%2.9%6.0%6.6%1.1%0.5%
Sepanyol[41]40,525,00236%34%8%2.5%9%8%2%0.5%
Sweden[42]9,059,65132%37%10%5%6%7%2%1%
Turki[43]76,805,52429.8%37.8%14.2%7.2%3.9%4.7%1.6%0.8%
United Kingdom[44]61,113,20537%35%8%3%7%7%2%1%
Min berpemberat
bilangan penduduk
(jumlah penduduk = 2,261,025,244)36.44%28.27%20.59%5.06%4.33%3.52%1.39%0.45%

Kumpulan darah B mencatat kekerapan tertinggi di India Utara dan Asia Tengah, tetapi kekerapannya berkurangan ke arah barat dan timur, menjunam sampai peratusan berangka tunggal di Sepanyol.[46][47] Darah jenis B dipercayai langsung tidak dijumpai di kalangan kelompok orang-orang asli Amerika dan Australia sebelum ketibaan orang Eropah di benua masing-masing.[47][48]

Kumpulan darah A dikaitkan dengan kekerapan tingginya di Eropah, terutamanya di Scandinavia dan Eropah Tengah, tetapi kekerapan paling tingginya di sesetengah populasi orang asli Australia dan orang Indian Blackfoot di negeri Montana, AS.[49][50]

Sistem kumpulan darah lain

Persatan Transfusi Darah Antarabangsa kini mengiktiraf 30 sistem kumpulan darah (termasuk sistem ABO dan Rh).[2] Maka, selain antigen ABO dan antigen Rh, terdapat banyak lagi antigen yang dinyatakan pada membran permukaan SDM. Misalnya, seseorang berdarah AB, D positif, dan pada masa yang sama M dan N positif (sistem MNS), K positif (sistem Kell), Lea atau Leb negatif (sistem Lewis), dan sebagainya, jadi ada positif atau negatif untuk setiap antigen sistem kumpulan darah. Kebanyakan sistem kumpulan darah dinamakan sempena nama pesakit yang antibodi masing-masing pertama kali ditemui dalam darah mereka.

Kepentingan dalam bidang perubatan

Pemindahan darah

Perubatan transfusi ialah cabang khusus dalam ilmu hematologi yang membincangkan kajian kumpulan darah, bersama fungsi tabung darah untuk menyediakan perkhidmatan pemindahan darah dan produk darah yang lain. Di seluruh dunia, produk darah mesti dipreskripsikan oleh doktor perubatan (tabib atau doktor bedah berlesen), sama dengan ubat-ubatan.

Simptom-simptom utama tindak balas hemolitik akut akibat salah padan jenis darah.[51][52]

Kebanyakan kerja-kerja rutin tabung darah melibatkan ujian darah dari kedua-dua penderma dan penerima untuk memastikan setiap penerima dibekalkan darah yang serasi dan selamat digunakan. Jika seunit darah yang tidak diserasikan dipindahkan dari penderma ke penerima, boleh terjadinya tindak balas hemolitik akut parah dengan hemolisis (kemusnahan SDM), kegagalan ginjal dan renjatan, apalagi boleh membawa maut. Antibodi mungkin amat aktif sehingga mampu menyerang SDM serta mengikat komponen-komponen dalam sistem komplemen untuk mengakibatkan hemolisis teruk dari darah yang terpindah.

Pesakit haruslah menerima darah sejenis atau produk darah yang khusus untuk jenisnya untuk mengurangkan kemungkinan tindak balas transfusi. Risikonya boleh dikurangkan lagi dengan memadan darah, tetapi tidak perlu memadan darah jika darah diperlukan untuk kecemasan. Pemadanan darah ini adalah mencampurkan sampel serum penerima dengan sampel SDM penderma, kemudian memastikan sama ada campuran itu beraglutinat, atau bergumpal. Jika tiadanya gumpalan pada mata kasar, maka juruteknik tabung darah perlu meneliti gumpalan melalui microskop. Jika adanya gumpalan, maka darah penderma itu tidak boleh dipindahkan ke penerima itu. Adalah penting untuk memastikan semua contoh darah dalam tabung bank dikenal pasti dengan tepat, maka sistem kod bar yang dipanggil ISBT 128 digunakan untuk menyelaraskan label-labelnya.

Kumpulan darahnya boleh dipakai pada tag pengenalan atau tatu yang dipakai oleh anggota tentera, sekiranya mereka memerlukan pemindahan darah kecemasan. Pada Perang Dunia Kedua, para anggota Waffen-SS memakai cacah jenis darah.

Jenis darah yang jarang boleh menimbulkan masalah bekalan untuk tabung darah dan hospital. Misalnya, darah Duffy-negatif lebih kerap didapati dalam orang-orang berketurunan Afrika,[53] dan kejarangan darah jenis ini di kalangan masyarakat lain boleh mengakibatkan kekurangan darah Duffy-negatif untuk pesakit berketuruan Afrika. Begitu juga untuk yang berdarah RhD negatif, kerana adanya risiko yang dikaitkan dengan pelancongan ke tempat-tempat di mana darah RhD negatif jarang ditemui, khususnya Asia Timur, di mana mungkin ada perkhidmatan darah yang berusaha menggalakkan orang Barat untuk menderma darah.[54]

Penyakit hemolisis bayi baru lahir

Seorang wanita hamil boleh menghasilkana antibodi kumpulan darah IgG jika janinnya ada antigen kumpulan darah yang tidak dimilikinya. Ini boleh berlaku jika sesetengah sel darah janin memasuki sistem peredaran darah ibu (cth. pendarahan fetomaternal kecil saat kelahiran atau at the time of childbirth or celaha obstetrik), atau kadang-kadang selepas pemindahan darah terapeutik. Ini boleh menyebabkan penyakit Rh atau mana-mana bentuk penyakit hemolisis bayi baru lahir (hemolytic disease of the newborn, HDN) dalam kehamilan semasa dan/atau kehamilan seterusnya. Jika seseorang wanita hamil didapati mengandungi antibodi anti-D, jenis darah Rh dalam janin boleh diuji secara analisis DNA janin dalam plasma ibu untuk menilai risiko penyakit Rh kepada janin.[55] Pada abad ke-20, berjayanya kemajuan besar dalam bidang perubatan yang mana penyakit Rh boleh dihindari dengan menghalang pembentukan antibodi anti-D oleh ibu berdarah D negatif dengan suntikan globulin imun Rho(D).[56][57] Antibodi-antibodi yang dikaitkan dengan sesetengah kumpulan darah boleh mengakibatkan HDN parah, tetapi yang lain punya hanya meninggalkan HDN ringan, dan ada lagi yang langsung tidak menyebabkan HDN.[3]

Keserasian

Produk darah

Untuk memberikan manfaat terbaik dari setiap dermaan darah serta memanjangkan hayat simpanan, tabung darah memecahkan sejumlah darah penuh kepada beberapa produk. Antara produk-produk darahnya termasuk SDM padat, platelet, plasma, kriomendakan, dan plasma beku segar (fresh frozen plasma, FFP). FFP disejuk beku cepat untuk mengekalkan faktor-faktor pembekuan labil iaitu Faktor V dan Faktor VIII, yang biasanya diberi kepada pesakit yang mengalami masalah pembekuan yang boleh mengancam nyawa akibat keadaan-keadaan seperti penyakit hati tenat, dos bahan antigumpal berlebihan, atau penggumpalan intravasel tersebar.

Unit-unit sel merah padat dibuat dengan menanggalkan sebanyak mana plasma yang boleh dari unit-unit darah penuh.

Faktor pembekuan yang disintesiskan oleh kaedah-kaedah rekombinan moden kini dalam kegunaan klinikal rutin untuk merawat hemofilia, untuk mengelakkan risiko penyebaran jangkitan yang berlaku dengan produk darah yang terkumpul.

Keserasian sel darah merah

  • Individu berjenis darah AB mempunyai kedua-dua antigen A dan B di permukaan SDM-nya, dan serum darah yang tidak mengandungi apa-apa antibodi yang melawan antigen A atau B. Oleh itu, individu berdarah jenis AB boleh menerima darah dari mana-mana kumpulan darah (tetapi AB diberi keutamaan), tetapi boleh menderma darah kepada penerima berjenis AB sahaja.
  • Individu berjenis darah A mempunyai antigen A di permukaan SDM-nya, dan serum darah yang mengandungi antibodi IgM yang melawan antigen B. Oleh itu, individu berdarah jenis A boleh menerima darah dari penderma berdarah jenis A atau O sahaja (tetapi A diberi keutamaan), serta boleh menderma darah kepada penerima berjenis A atau AB.
  • Individu berjenis darah B mempunyai antigen B di permukaan SDM-nya, dan serum darah yang mengandungi antibodi IgM yang melawan antigen A. Oleh itu, individu berdarah jenis B boleh menerima darah dari penderma berdarah jenis B atau O sahaja (tetapi B diberi keutamaan), serta boleh menderma darah kepada penerima berjenis B atau AB.
  • Individu berjenis darah O tiada antigen A atau B di permukaan SDM-nya tetapu serum darahnya mengandungi antibodi IgM anti-A dan anti-B yang melawan antigen-antigen A dan B. Oleh itu, individu berdarah jenis O boleh menerima darah dari penderma berjenis O sahaja, tetapi boleh menderma darah kepada kepada mana-mana kumpulan darah (A, B, O atau AB). Sekiranya ada sesiapa yang memerlukan pemindahan darah dalam kecemasan genting, dan masa yang diambil untuk memproseskan darah penerima mungkin mengambil masa terlalu lama, darah O negatif boleh digunakan.
Carta keserasian SDM
Selain menderma kepada golongan sama jenis darah; penderma berjenis O boleh menderma kepada penerima berjenis A, B dan AB; penderma berjenis A dan B boleh menderma kepada penerima berjenis AB.
Jadual keserasian sel darah merah[58][59]
Penerima[1]Penderma[1]
O−O+A−A+B−B+AB−AB+
O− Y
O+ Y Y
A− Y Y
A+ Y Y Y Y
B− Y Y
B+ Y Y Y Y
AB− Y Y Y Y
AB+ Y Y Y Y Y Y Y Y

Perhatian
1. Menganggap ketiadaan antibodi luat biasa yang boleh mengakibatkan ketakserasian darah penderma dan darah penerima, seperti yang biasa dijangka dalam darah yang dipilih secara pemadanan.

Pesakit berdarah Rh D-negatif yang tiada antibodi anti-D (tidak pernah dipekakan dengan SDM D-positif) boleh menerima pemindahan darah D-positif sekali, tetapi ini akan menyebabkan pemekaan kepada antigen D, dan pesakit wanita boleh membawa risiko menyebabkan penyakit hemolisis kepada anaknya. Jika seseorang pesakit D-negatif didapati menghasilkan antibodi anti-D, maka pendedahan kepada D-positif pada masa akan datang boleh mengakibatkan tindak balas pemindahan yang amat berbahaya. Darah Rh D-positif tidak boleh sesekali diberi kepada wanita D-negatif yang berusia boleh mengandung atau pesakit yang berantibodi D, jadi tabung darah mesti menyimpan darah Rh-negatif secukup-cukupnya untuk pesakit sebegini. Dalam keadaan terdesak seperti pendarahan teruk apabila simpanan unit darah D-negatif dalam tabung darah adalah terlalu sedikit, darah D-positif mesti diberi kepada wanita D-negatif yang melepasi usia boleh mengandung atau lelaki Rh-negatif, asalkan pesakit itu tidak mengandungi antibodi anti-D, demi menjimatkan simpanan darah D-negatif dalam tabung darah. Sebaliknya, pesakit Rh D-positif tidak bertindak balas dengan darah D negatif. Pemadanan sedemikian juga dilakukan untuk antigen-antigen lain dalam sistem Rh seperti C, c, E dan e dan juga sistem kumpulan darah lain yang dikenali dengan risiko untuk pengimunan seperti sistem Kell khususnya untuk wanita berusia boleh mengandung atau pesakit yang diketahui memerlukan banyak pemindahan darah.

Keserasian plasma

Fail:Plasma-donation.svg
Carta keserasian plasma
Selain menderma kepada golongan sama jenis darah; plasma dari jenis AB boleh diderma kepada penerima berjenis A, B dan O; plasma dari jenis A dan B boleh diderma kepada penerima berjenis O.

Penerima boleh menerima plasma sama jenis darah, tetapi selain itu keserasian penderma-penerima bagi plasma darah adalah kebalikan dari SDM: plasma yang diekstrakkan dari darah jenis AB boleh dipindahkan ke penerima mana-mana kumpulan darah; penerima berdarah jenis O boleh menerima plasma dari mana-mana kumpulan darah; dan plasma jenis O hanya boleh dipindahkan kepada penerima jenis O.

Jadual keserasian plasma[59]
PenerimPenderma[1]
OABAB
O Y Y Y Y
A Y Y
B Y Y
AB Y

Perhatian
1. Menganggap ketiadaan antibodi luar biasa yang kuat dalam plasma penderma

Penderma sejagat dan penerima sejagat

Mengenai pemindahan darah penuh atau sel darah merah padat, individu-individu berdarah jenis O Rh D negatif dikenali sebagai penderma sejagat, manakala individu-individu berdarah jenis AB Rh D positif pula dikenali sebagai penerima sejagat; tetapi secara amnya, istilah-istilah "sejagat" tersebut hanya benar setelah mengambil kira kemungkinan tindak balas antibodi anti-A dan anti-B penerima kepada SDM yang dipindah masuk, dan juga kemungkinan pemekaan kepada antigen Rh D. Yang terkecuali termasuk individu-individu yang ada sistem antigen hh (juga dikenali sebagai kumpulan darah Bombay) dan boleh menerima darah dengan selamat dari penderma hh lain sahaja, kerana mereka membentuk antibodi yang melawan bahan H.[60][61]

Penderma darah yang mengandungi antibodi anti-A atau anti-B yang terlalu kuat, atau mana-mana antibodi luar biasa dikecualikan dari pendermaan darah. Kemungkinan tindak balas antibodi anti-A dan anti-B yang ada dalam darah yang dipindahkan kepada SDM penerima tidak perlu dipertimbangkan, kerana jumlah plasma berantibodi yang dipindahkan agak kecil.

Contohnya: dengan mengambil kira pemindahan darah jenis O Rh D negatif (darah penderma sejagat) ke dalam penerima berdarah jenis A Rh D positif, tiada apa-apa tindak balas imun antara antibodi anti-B penerima dan SDM yang dipindahkan yang harus dirisaukan. Bagaimanapun, jumlah plasma yang kecil dalam darah pindahan itu mengandungi antibodi anti-A yang boleh bertindak balas dengan antigen A di permukaan SDM penerima, tetapi tindak balas besar tidak diduga atas faktor-faktor pencarian, maka pemekaan Rh D tidak dijangka.

Begitu juga, antigen-antigen permukaan SDM selain A, B dan Rh D, boleh menyebabkan tindak balas dan pemekaan yang memudaratkan, jika antigen-antigen tersebut boleh terikat pada antibodi-antibodi padanan masing-masing untuk menjana tindak balas imun. Pemindahan darah dirumitkan lagi kerana platelet dan sel darah putih (SDP) mempunyai sistem antigen permukaan sendiri, serta pemekaan kepada antigen platelet atau SDP boleh berlaku akibat pemindahan.

Berkenaan pemindahan plasma, situasinya adalah sebaliknya. Plasma jenis O yang mengandungi kedua-dua antigen anti-A dan anti-B, hanya boleh diberi kepada penerima berjenis O. Antibodi akan menyerang antigen mana-mana jenis darah lain. Sebaliknya, plasma AB boleh diberi kepada pesakit dari mana-mana kumpulan darah ABO kerana tiada antibodi anti-A atau anti-B.

Sejarah

Dua sistem kumpulan darah yang terpenting ditemui oleh Karl Landsteiner ketika melakukan uji kaji pemindahan darah terawal, iaitu sistem ABO pada tahun 1901[62], diikuti sistem Rhesus (bersama Alexander S. Wiener) pada tahun 1937.[63] Perkembangan ujian Coombs pada tahun 1945,[64] penciptaan ubat transfusi, dan kefahaman penyakit hemolisis bayi baru lahir membawa kepada penemuan kumpulan darah baru, dan kini terdapat 30 sistem kumpulan darah manusia yang diiktiraf oleh Persatuan Pemindahan Darah Antarabangsa (ISBT),[2] dan dalam semua 30 kumpulan darah ini, terdapat lebih 600 antigen kumpulan darah berlainan yang dikenalpasti,[4] kebanyakannya jarang sekali ditemui atau tertumpu pada kelompok etnik tertentu. Pengetahuan jenis darah digunakan dalam bidang sains forensik dan ujian paterniti, tetapi kedua-dua kegunaan tersebut telah digantikan oleh cetak jari genetik yang memberi lebih kepastian.[65]

Rujukan