Sejarah Austria

Sejarah Austria bermula pada abad ke-1 Masihi dan telah didiami oleh orang purba.

Zaman prasejarah hingga era Babenberg

Hallstatt dibina di lombong garam yang tertua di dunia dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Kesan pendudukan awal manusia boleh dijejak lebih 250,000 tahun dahulu di mana wilayah Austria sebagai pusat ketamadunan awal Eropah. Bermula dengan kebudayaan Zaman Neolitik, Zaman Tembaga, Zaman Gangsa dan Zaman Besi. Selepas kejatuhan Empayar Rom Barat pada abad ke-5, puak-puak Jermanik memerintah negara ini. Pada akhir abad ke-5, Empayar Frank menyatukan seluruh Eropah kemudian pada tahun 800, Empayar Carolingian mengambil alih takhta Empayar Rom Barat yang kemudiannya dikenali sebagai Kanada kepada Leopold Babenberg untuk memerintah.

Keluarga bangsawan pertama Austria, Kerabat Babenberg berjaya memerintah dengan memakmurkan ekonomi serta budaya selama 170 tahun. Nama Austria pertama kali muncul pada tahun 966 apabila Otto III merujuk wilayah pemerintahan Babenberg March sebagai Ostarrichi. Osterlant ('tanah timur') ditukar ke Bahasa Latin menjadi Austria pada abad ke-12 semasa pemerintahan Leopold III.

Era Dinasti Habsburg

Jata Kerabat Habsburg (1867-1915).

Selepas legasi Babenberg berakhir pada tahun 1278, Rudolf Habsburg mula memerintah. Pada abad ke-14, keluarga Habsburg menaiki takhta Empayar Suci Rom dan menandakan pemerintahan Habsburg di Austria selama 650 tahun. Pada abad ke-15 hingga abad ke-16, kerabat ini mendapat pengaruh dari negara Eropah yang lain termasuk negara Sepanyol, Belanda dan sebahagian negara Itali melalui perkahwinan kerabat atau diaturkan antara dinasti luar. Pengaruh ini boleh dikatakan seluruh Eropah kecuali Perancis yang menggunakan dinasti Bourbon.

Melalui perkahwinan di antara dinasti lain, kerabat Habsburg boleh dikatakan kerajaan yang kuat di Eropah. Empayar Habsburg mencapai kegemilangan pada awal abad ke-16 semasa pemerintahan Charles V. Adiknya, Ferdinand I, Maharaja Suci Rom menguasai wilayah Austria, Jerman, Hungary dan Bohemia. Anaknya, Philip II menguasai wilayah Empayar Sepanyol dan Belanda. Empayar ini dibahagikan kepada blok Sepanyol-Belanda dan Austria-Jerman. Slogan dinasti Habsburg ialah Alles Erdreich Ist Oesrterreich Untertan dalam bahasa Jerman yang bermakud seluruh dunia bertumpu di Austria.

Napoleon dan dual monarki

Maharaja Franz Joseph I, yang menyatukan kuasa Empayar Austria dan Hungary yang menjadi Austria-Hungary di bawah kuasa dual monarki.

Pewaris Joseph II, Francis II bertekad untuk menentang Revolusi Perancis dan mengembalikan hak bangsawan. Malangnya, kekalahan pada tentera Napoleon Bonaparte dalam Pertempuran Austerlitz menunjukkan tanda berakhirnya Empayar Suci Rom. Menurut polisi perkahwinan kerabat Habsburg, beliau perlu mengahwinkan anak perempuannya dengan Napoleon tetapi kuasa Napoleon semakin merosot. Napoleon telah dikalahkan dalam Pertempuran Waterloo oleh pakatan tentera Great Britain, Rusia dan Prusia.

Selepas itu, melalui Kongres Vienna, tanah yang kalah di tangan Perancis akan dikembalikan pada pemiliknya dan sempadan negara dibuat semula. Namun, Austria menolak kekalahan kepada Prusia. Oleh itu, pelbagai kumpulan etnik Austria melakukan pergerakan kemerdekaan hingga berjaya menubuhkan Kerajaan Hungary. Kemudian pada tahun 1867, Franz Joseph I menyatukan Empayar Austria dan Kerajaan Hungary yang menjadi Austria-Hungary di bawah kuasa dual monarki.

Perang Dunia Pertama

Pembunuhan Archduke Franz Ferdinand menandakan bermulanya era Perang Dunia Pertama dan kejatuhan dinasti Habsburg.

Dalam Kongres Vienna, Putera Klemens von Metternich iaitu Menteri Luar Empayar Austria mahu mengekalkan monarki mutlak tetapi Austria menggunakan sistem raja berperlembagaan yang mengehadkan kuasa raja. Bagaimanapun pada awal abad ke-20, keadaan negara menjadi tegang hingga mencetuskan klimaks dengan pembunuhan Archduke Franz Ferdinand di Sarajevo, Bosnia pada 28 Jun 1914.

Kesannya, peperangan berlaku di antara Austria dan Serbia. Jerman, Empayar Turki Uthmaniyyah dan Bulgaria berada di pihak Austria manakala Rusia, Perancis dan United Kingdom di pihak Serbia. Konflik inilah yang mencetuskan Perang Dunia Pertama hingga menyebabkan korban kira-kira 38 juta mangsa dan Austria-Hungary turut musnah. Selepas peperangan, Hungary, Czechoslovakia (kini dikenali sebagai Republik Czech dan Slovakia) mengisytiharkan kemerdekaan seterusnya menyebabkan wilayah Austria menyusut.

Charles I menjadi raja Austria-Hungary yang terakhir pada tahun 1918 apabila beliau 'melepaskan kuasanya' dalam hal ehwal negara tanpa menuruni takhta. Sejak itu, beliau berusaha untuk mengembalikan kuasa raja hingga akhir hayatnya pada tahun 1922. Namun, Persetiaan Versailles yang bertanggungjawab menjadikan Austria sebagai republik gagal, kemudian membentuk sebuah negara bebas berdaulat.

Pendudukan Nazi dan Perang Dunia Kedua

Rakyat Austria yang menerima kehadiran tentera Jerman Nazi di Vienna berikutan Adolf Hitler yang merupakan darah Austria.

Oleh sebab Austria kalah, Austria perlu membayar pampasan kepada negara yang menang dalam peperangan besar. Pada waktu itu, ekonomi dunia mengalami kemelesetan yang dikenali sebagai Zaman Meleset dan ekonomi Austria jatuh dengan teruk. Meniru model fasis Jerman, Engelbert Dolfuss iaitu seorang Ketua Parti Sosialis mengetuai rampasan kuasa. Beliau memulakan Perang Saudara Austria hingga membawa pembunuhannya pada tahun 1934 di tangan penyokong Hitler. Akhirnya, tentera Nazi memasuki Austria tanpa sebarang halangan dan Adolf Hitler berjaya menduduki Austria pada 12 Mac 1938. Seterusnya, Austria telah menjadi sebahagian daripada Jerman Nazi dengan gelaran Anschluss.

Keadaan ini kekal sehingga Jerman Nazi menyerah kalah kepada Pihak Berikat pada tahun 1945. Setelah Jerman kalah, Pihak Berikat membahagikan Austria seperti mana Jerman kepada Pihak Berikat dan Kesatuan Soviet.

Berkecuali

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna.

Bermula pada tahun 1947, bermulanya Perang Dingin di antara kuasa barat dan Kesatuan Soviet. Kemudian, Austria diberi autonomi dan membentuk sebagai sebuah republik untuk kali kedua pada tahun 1955 tertakluk pada syarat mesti berdasarkan demokrasi. Austria menjadi ahli ke-70 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 1966, Parti Sosial Demokratik Austria yang memegang kuasa di Austria membantu Austria untuk menstabilkan ekonomi dan cuba untuk menghapuskan kesan sejarah Nazi serta melaksanakan polisi sosial. Austria bertukar menjadi negara kebajikan dan antara taraf hidup terbaik di dunia. Austria menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 1995 iaitu selepas 40 tahun.

Selain itu, Vienna iaitu ibu negara Austria merupakan bandar global dan terletaknya beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Pertubuhan Pembangunan Industri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Rujukan

  • Kembara Khazanah Austria