Vegetarian

Vegetarianisme ialah amalan pemakanan yang mengecualikan segala daging haiwan termasuk ternakan, buruan, ikan, kerang-kerangan atau krustasia serta keluaran sampingan penyembelihan[2][3][4] sambil menumpukan kepada hasil berasaskan sayuran dan tumbuhan (vegetarian atau mayur, dari makan sayur) sebagai ganti.[3] Sebab-sebab memilih amalan vegetarian boleh berkaitan dengan moral, agama, budaya, etika, estetik, persekitaran, masyarakat, ekonomi, politik, citarasa, atau kesihatan.

Produk sayur-sayuran yang diutamakan dalam pemakanan vegetarianisme
Label titik hijau (kiri) membezakan dan mengenalpasti produk yang sesuai untuk pemakanan vegetarian di India berbanding produk menggunakan hasil daging yang bertanda perang.[1]

Terdapat beberapa jenis pemakanan vegetarian ini, termasuk yang mengecualikan telur dan/atau mana-mana keluaran usaha haiwan seperti tenusu dan madu. Contohnya, amalan vegan mengecualikan kesemua produk haiwan dari pemakanan. Mengikut takrif yang lebih ketat, produk haiwan tidak digunakan sebagai pakaian juga, sama ada penghasilan pakaian atau benda-benda seumpamanya melibatkan nyawa haiwan atau tidak (tenusu, telur, madu, bulu, sutera, bulu kapas, dsb).[5]

Pengambilan jenis makanan vegetarian didapati memuaskan keperluan khasiat untuk semua peringkat umur sepertimana pemakanan biasa berdaging jika dirancang dengan baik.[6] Kajian-kajian selidik berskala besar telah membuktikan bahawa amalan vegetarian memanjangkan umur, menyihatkan badan, dan banyak mengurangkan risiko barah dan penyakit-penyakit lain.[7]

Jenis

Terdapat pelbagai jenis pengamalan memakan sayuran yang berbeza tahap atau peringkat:

  • Vegetarianisme separa (semivegetarianism): di samping memakan makanan dengan bahan produk tumbuhan, juga memakan olahan dari makanan laut, ayam, susu, atau telur, tergantung kepada pilihan sendiri. Jenis vegetarianisme ini adalah kelompok yang paling rendah.
  • Lakto-vegetarianisme: pemakanan susu dan produk olahan masih dibenarkan selain bahan makanan tumbuhan
  • Ovo-vegetarianisme: pemakanan telur dan produk olahannya masih dibenarkan selain bahan makanan tumbuhan
  • Lakto-ovo-vegetarianisme: pemakanan dua-dua produk tenusu dan telur masih dibenarkan selain bahan makanan tumbuhan
  • Pesko-vegetarianisme: pemakanan ikan masih dibenarkan selain bahan makanan tumbuhan
  • Veganisme: jenis vegetarianisme paling ketat mengharamkan sejauh produk olahan haiwan termasuk madu lebah dan kulit haiwan sekalipun.

Pengamalan

Aspek agama

Sebuah "restoran sayur-sayuran" di Iskandar Puteri, Johor, Malaysia.

Pemakanan sayuran mula bertapak di India selari dengan kefahaman ahimsa atau rasa belas kasihan terhadap semua hidupan termasuk haiwan di muka Bumi dan sering diajarkan para pemikir tamadun-tamadun sana.[8]

Agama Hindu mendasarkan kepada kitab-kitab Veda yang menyatakan semua hidupan termasuk haiwan mempunyai tenaga hidup yang sama,[9] malah pemakanan sayuran amat digalakkan dalam kisah-kisah Ramayana dan Mahabharata.[10]

Agama Buddha mempunyai dua pendapat berbeza mengenai pemakanan daging: ada yang menyatakan ia dibenarkan pada zaman Gautama Buddha dan para pengikutnya selagi daging tersebut merupakan pemberian orang,[11] ada yang menyatakan ia larangan yang khusus untuk kalangan pengabdi ajarannya[12] disokong khusus dalam aliran Mahayana.[13] Pengamalan pemakanan sayuran selari agama Buddha dikukuhkan semasa pemerintahan Raja Asoka yang mengharamkan semua upacara penyembelihan haiwan.[14][15]

Guru-guru Jain Parshwanatha dan Mahavira menjunjung tinggi fahaman ahimsa ini mengembangkan aturan pemakanan dalam agama mereka yang paling ketat berbanding agama-agama seakar lain.[16][17][18]

Masyarakat Kristian aliran Ortodoks Habsyah memakan sayuran pada hari-hari digalakkan mengelakkan memakan daging.[19]

Pengganti daging

Lihat juga

Rujukan

Sumber utama
  • Alsdorf, Ludwig (1962). Beiträge zur Geschichte von Vegetarismus und Rinderverehrung in Indien. Wiesbaden. m/s. 561–576.
  • Spencer, Colin (1996). The heretics feast: a history of vegetarianism. University Press of New England.
  • Tähtinen, Unto (1976). Ahimsa: Non-Violence in Indian Tradition. London: Rider.