Gempa bumi dan tsunami Tōhoku 2011

Pada hari Jumaat, 11 Mac 2011, jam 14:46 JST (05:46 UTC),[2][3][4] gempa bumi di luar pesisir Tōhoku di Lautan Pasifik (Jepun: 東北地方太平洋沖地震, Hepburn: Tōhoku-chihō Taiheiyō Oki Jishin),[5] telah berlaku. Ini merupakan gempa bumi tujahan mega dasar laut yang bermagnitud 9.0 (Mw) yang berpunca di luar pesisir pantai Jepun pada pusat gempa yang terletak kira-kira 70 kilometer (43 bt) di timur Semenanjung Oshika di Tōhoku dengan hipopusat pada kedalaman sekitar 32 km (20 bt) dalam laut.[2][6] Inilah gempa bumi paling kuat yang diketahui pernah melanda jepun, dan salah satu gempa bumi yang terkuat di dunia semenjak bermulanya penyimpanan rekod moden pada tahun 1900.[4][7][8] Gempa ini telah mencetuskan ombak tsunami raksasa yang mencecah ketinggian 40.5 meter (133 ka) di Miyako, Wilayah Iwate di Tōhoku,[9][10] dan melanda sejauh pedalaman 10 km (6 bt) ke pedalaman di kawasan Sendai.[11] Gempa ini telah mengalihkan pulau Honshu 2.4 m (8 ka) ke arah timur serta mencondongkan Bumi pada paksinya sebanyak 10 cm (4 in) hingga 25 cm (10 in).[12][13][14]

Gempa bumi dan tsunami Tōhoku 2011
Pemandangan kemusnahan tsunami di Tōhoku dari udara
Lokasi-lokasi ketinggian ombak tsunami tertinggi, yang bertanda warna merah melambangkan yang paling dahsyat
TarikhJumaat, 11 Mac 2011
Masa14:46:23 JST (UTC+9)
Durasi6 minit[1]
Magnitud9.0 (Mw)[2][3]
Kedalaman32 km (20 bt)
Koordinat38°19′19″N 142°22′08″E / 38.322°N 142.369°E / 38.322; 142.369 142°22′08″E / 38.322°N 142.369°E / 38.322; 142.369
JenisGempa bumi tujahan mega
Kawasan terjejasJepun (utama)Lingkungan Pasifik (tsunami, sampingan)
Jumlah kerosakanOmbak tsunami, banjir, tanah runtuh, kebakaran, kemusnahan bangunan dan prasarana, kejadian nuklear termasuk pelepasan radiasi
Keamatan maksimumIX
Pecutan tanah kemuncak3.0 g
TsunamiYa. Setinggi 40.5 m (133 ka)
di Miyako, Iwate, Tōhoku
Tanah runtuhYa.
Kejutan depan7
Gegaran susulan1,235

Tsunami ini menyebabkan sebilangan kemalangan nuklear, terutama sekali peleburan tahap 7 di tiga buah reaktor di kompleks Loji Kuasa Nuklear Fukushima I, sehingga ratusan ribu penduduk berdekatan terpaksa dipindahkan beramai-ramai.[15][16] Bukan sahaja banyak penjana elektrik di sana yang rosak atau terpaksa ditutup, malah sekurang-kurangnya tiga buah reaktor nuklear mengalami letupan disebabkan gas hidrogen yang terkumpul di dalam bangunan kurungan luarannya ekoran kerosakan sistem pendinginan. Para penduduk dalam lingkungan 20 km (12 bt) dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima I dan 10 km (6.2 bt) dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima II terpaksa dipindahkan.

Agensi Polis Negara Jepun mengesahkan seramai 15,845[17][18] orang maut, 6,011[17][18] orang cedera dan 3,339[17][18] orang hilang di 18 wilayah, sementara lebih 125,000 bangunan rosak atau binasa.[17][18] Bencana berganda ini menyebabkan kerosakan struktur yang parah dan meluas di Jepun, termasuk kemusnahan jalan raya dan landasan keretapi di banyak kawasan, serta keruntuhan empangan.[11][19] Sekitar 4.4 juta isirumah di rantau timur laut Jepun terputus bekalan elektrik dan dan 1.5 juta terputus bekalan air.[20]

Anggaran awal menghitung kerugian berinsurans akibat gempa bumi sahaja pada AS$14.5 hingga $34.6 bilion.[21] Bank pusat Jepun menawarkan ¥15 trilion (AS$183 bilion) ke dalam sistem perbankan pada 14 Mac sebagai usaha memulihkan keadaan pasaran kepada normal.[22] Bank Dunia menganggarkan kos ekonominya pada AS$235 bilion, menjadikannya bencana alam yang paling mahal dalam sejarah dunia.[23][24]

Gempa bumi

Gempa bumi tujahan mega dasar laut bermagnitud 9.0 ini berlaku pada 11 Mac 2011, jam 14:46 JST (05:46 UTC) di rantau barat laut Lautan Pasifik pada paras kedalaman laut yang agak cetek iaitu 32 km (19.9 batu),[25] dengan pusat gempa yang terletak kira-kira 72 km (45 bt) di timur Semenanjung Oshika di Tōhoku, Jepun, selama kira-kira 6 minit.[1][2] Gempa ini asalnya dilaporkan bermagnitud 7.9 MW oleh USGS, kemudian ditingkatkan kepada 8.8  MW, kemudian 8.9  MW,[26] dan akhirnya 9.0  MW.[3][27] Sendai merupakan bandaraya utama yang paling dekat dengan gempa, iaitu 130 km (81 batu) dari pusat gempa yang terletak 373 km (232 batu) dari ibu kota Tokyo.[2]

Gempa bumi terbesar ini didahului oleh beberapa kejutan depan yang kuat, dan disusuli oleh ratusan kejutan lanjur. Kejutan depan besar yang pertama berlaku pada 9 Mac dengan 7.2 MW, kira-kira 40 km (25 batu) dari pusat gempa 11 Mac, diikuti oleh tiga lagi pada hari yang sama dengan melebihi 6.0 MW.[2][28] Selepas gempa bumi terbesar pada 11 Mac, kejutan lanjur 7.0 MW dilaporkan pada jam 15:06 JST (6:06 UTC), diikuti oleh gegaran 7.4  MW pada jam 15:15 JST (6:16 UTC) dan 7.2  MW pada 15:26 JST (6:26 UTC).[29] Lebih 800 kejutan lanjur bermagnitud 4.5  MW ke atas telah berlaku sejak gempa bumi terbesar ini.[30]

Seminit sebelum gempa dirasai di Tokyo, sistem Amaran Awal Gempa Bumi yang dilengkapi dengan lebih 1,000 seismometer di Jepun, menghantar amaran akan datangnya gegaran kuat kepada jutaan penduduk. Adalah dipercayai bahawa amaran awal oleh Agensi Meteorologi Jepun ini telah menyelamatkan banyak nyawa.[31][32] Amaran kepada orang awam disampaikan kira-kira lapan saat selepas dikesannya gelombang P yang pertama, atau kira-kira 31 saat selepas berlakunya gempa bumi. Bagaimanapun, keamatan yang dianggarkan itu adalah lebih kecil daripada yang berlaku di sesetengah tempat di kawasan-kawasan Kanto dan Tohoku. Ini disangka adalah disebabkan oleh anggaran magnitud gempa yang lebih rendah, anggaran satah sesar yang lebih kecil, anggaran kepanjangan sesar yang lebih pendek, tidak diambil kiranya bentuk sesar, dan sebagainya.[33] Juga adanya kes-kes yang mana perbezaan besar antara anggaran keamatan oleh sistem Amaran Awal Gempa Bumi dengan keamatan sebenar yang berlaku ketika kejutan lanjur dan gempa bumi yang tercetus.[34]

Geologi

Peta gempa bumi Tōhoku dan kejutan-kejutan lanjurnya pada 11–14 Mac
Sempadan kawasan hipopusat (Sumber: Ibu Pejabat Pemupukan Penyelidikan Gempa Bumi Jepun)

Gempa bumi ini berlaku di mana Plat Pasifik membenam di bawah plat di bawah Honshu utara; para saintis tidak sepakat tentang plat yang mana di bawah Honshu itu yang dimaksudkan.[13][35] Plat Pasifik yang bergerak pada kadar 8–9 cm (3.1–3.5 inci) setahun, mencondong ke bawah plat di bawah Honshu dan melepaskan sejumlah tenaga yang hebat. Gerakan ini menarik plat yang atas ke bawah hingga tekanan yang terkumpul cukup untuk mencetuskan kejadian seismik. Rekahan ini menyebabkan dasar laut naik beberapa meter.[35] Gempa bumi sekuat ini lazimnya berpecah sepanjang tidak kurang 480 km (300 batu) dan umumnya memerlukan permukaan sesar yang panjang dan cukup lurus. Oleh sebab sempadan plat dan zon benam di kawasan pecahan tidak lurus, maka adalah luar biasa bagi magnitud gempa bumi mencecah magntiud 8.5; kekuatan gempa yang sedemikian memeranjatkan ramai ahli seismologi.[36] Kawasan hipopusat gempa ini menjangkau dari luar pesisir Wilayah Iwate ke luar pesisir Wilayah Ibaraki.[37] Agensi Meteorologi Jepun berkata bahawa gempa bumi ini mungkin meletus dari Iwate ke Ibaraki dengan kepanjangan 500 km (310 batu) dan lebar 200 km (120 batu).[38][39] Analisa menunjukkan bahawa gempa bumi ini terdiri daripada serantaian tiga peristiwa.[40] Gempa bumi ini mungkin mempunyai mekanisme yang serupa dengan sebuah lagi gempa bumi raksasa pada tahun 869 yang dianggatkan bermagnitud gelombang permukaan (Ms) 8.6 dan juga menyebabkan tsunami besar.[41] Pernah juga berlakunya gempa bumi dan tsunami yang melanda kawasan Pantai Sanriku pada tahun-tahun 1896 dan 1933.

Tenaga

Kerosakan pada Menara Tokyo.

Gempa bumi ini melepaskan tenaga permukaan (Me) sebanyak 1.9 ± 0.5×1017 joule[42] yang dilesapkan sebagai tenaga gegaran dan tsunami yang hampir dua kali ganda gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004 bermagnitud 9.1 yang meragut 230,000 nyawa orang. Tenaga permukaan dari gempa bumi ini, jika dimanfaatkan, mampu menjana kuasa sebuah bandaraya sebesar Los Angeles selama setahun genap.[43] Jumlah tenaga yang dikeluarkan, juga dikenali sebagai momen seismik (M0), adalah lebih 200,000 kali ganda tenaga permukaan ini dan dihitung oleh USGS pada 3.9×1022 joule,[44] iaitu kurang sedikit berbanding gempa Lautan Hindi 2004, dan bersamaan dengan 9,320 gigaton TNT, atau kira-kira 600 juta kali tenaga bom atom yang melanda Hiroshima.

Kesan geofizik

Gempa ini menggerakkan sesetengah bahagian timur laut Jepun sebanyak 2.4 m (7.9 batu) ke arah Amerika Utara,[12][13] maka jisim bumi di bahagian-bahagian itu menjadi lebih luas daripada dahulu.[13] Bahagian-bahagian Jepun paling dekat dengan pusat gempa mengalami anjakan terbesar.[13] Regangan garis tepi pantai sepanjang 400 km (250 batu) menurun secara menegak sebanyak 0.6 m (2.0 batu), membolehkan tsunami untuk melanda daratan dengan lebih cepat dan lebih ke dalam.[13] Pada mulanya, adalah diduga bahawa plat Pasifik bergerak ke arah barat sebanyak 20 m (66 batu),[45] hingga 40 m (130 batu).[46] Pada 6 April, pasukan pengawal pinggir laut Jepun melaporkan bahawa gempa itu telah menganjakkan dasar laut sejauh 24 meter (79 batu) ke arah pusat gempa serta menaikkan dasar laut ke arah luar pesisir wilayah Miyagi sebanyak 3 meter.[47] Satu laporan oleh Agensi Sains dan Teknologi Bumi Samudera Jepun, yang diterbitkan dalam jurnal Science pada 2 Disember 2011, membuat kesimpulan bahawa dasar laut di kawasan antara pusat gempa dan Jurang Jepun bergerak 50 meter ke timur tenggara dan naik sekitar 7 meter kesan gempa ini. Laporan berkenaan juga menyatakan bahawa gempa itu turut menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh besar di dasar laut di kawasan yang terjejas.[48]

Pencecairan tanah di Koto, Tokyo

Gempa bumi ini memindahkan paksi bumi sebanyak sekitar 10 cm (4 in) dan 25 cm (10 in).[12][13][14] Sisihan ini telah menyebabkan beberapa perubahan kecil pada pergerakan bumi, termasuk tempoh putaran Bumi dalam sehari, kecondongan Bumi, dan fenomena kenining Chandler.[14] Kelajuan putaran Bumi meningkat, menyebabkan tempoh sehari susut 1.8 mikrosaat disebabkan pengagihan semula jisim Bumi.[49] Anjakan paksi ini disebabkan oleh pengagihan semula jisim permukaan Bumi yang mengubah momen inersia planet ini. Disebabkan keabadian momentum sudut, perubahan inersia yang sedemikian hanya menyebabkan perubahan kecil pada kadar putaran Bumi.[50] Inilah perubahan-perubahan yang diduga[14] bagi gempa bumi sekuat ini.[12][49]

Pencecairan tanah terbukti di kawasan-kawasan tanah tebus guna di sekitar Tokyo, terutamanya di Urayasu,[51] Chiba, Funabashi, Narashino (keempat-empatnya di Wilayah Chiba) dan Wad-Wad Koto, Edogawa, Minato, Chūō, dan Ōta di Tokyo. Kira-kira 30 buah rumah atau bangunan musnah dan 1,046 buah lagi bangunan menerima kerosakan.[52] Lapangan Terbang Haneda yang dibina atas tanah tebus guna berdekatan, tidak diapa-apakan. Odaiba turut mengalami pencecairan, tetapi kesannya tidak ketara.[53]

Peta pemerhatian keamatan seismik yang berpunca daripada kejutan gempa terbesar.

Gempa Susulan

Jepun mengalami lebih 1000 gempa susulan sejak gempa bumi ini berlaku, yang mana kira-kira 60 daripadanya mencatat magnitud melebihi 6.0 Mw dan tiga daripadanya melebihi 7.0 Mw. Dua gempa bermagnitud 7.7 Mw dan 7.9 Mw berlaku pada 11 Mac[54], sementara gempa yang ketiga melanda luar pesisir pada 7 April pada magnitud yang diragui. Pusat gempanya berada di dasar laut, 66 km (41 batu) jauhnya dari pantai. Agensi Meteorologi Jepun menetapkan magnitud 7.4 MJMA, tetapi USGS merendahkannya kepada 7.1 Mw.[55] Sekurang-kurangnya empat orang terkorban, dan bekalan elektrik teputus di sebahagian besar utara Jepun, termasuk terputusnya kuasa elektrik luaran kepada Loji Kuasa Nuklear Higashidōri dan Loji Pemprosesan Semula Rokkasho.[56][57][58] Empat hari kemudian iaitu pada 11 April, satu lagi kejutan lanjur bermagnitud 6.6 Mw melanda Fukushima, menyebabkan lebih banyak kemusnahan dan meragut tiga nyawa.[59][60]

Tsunami

Peta tenaga tsunami dari NOAA

Gempa bumi yang disebabkan oleh tujahan 5 hingga 8 meter ke atas pada dasar laut selebar 180 km di 60 km dari pantai timur Tōhoku,[61] menyebabkan sebuah tsunami raksasa yang menyebabkan kebinasaan di sepanjang garis tepi pantai Pasifik di pulau-pulau utara Jepun serta terkorbannya ribuan nyawa dan ranapnya seluruh bandar-bandar. Tsunami itu juga terambat ke serata Lautan Pasifik, maka amaran dikeluarkan dan pemindahan penduduk dijalankan di kebanyakan negara yang bersempadan dengan lautan terbesar ini, termasuklah seluruh pantai pasifik benua Amerika Utara dan Selatan sekali, dari Alaska hingga Chile;[62][63][64] bagaimanapun, ketika tsunami melanda kebanyakan tempat ini, ia hanya meninggalkan kesan yang kecil. Pantai Pasifik di Chile adalah antara yang paling jauh dari Jepun, iaitu jaraknya sekitar 17,000 km (11,000 batu),[65] tetapi tetap dilanda ombak setinggi 2 meter ([convert: unknown unit]).[66][67] Dianggarkan bahawa ombak setinggi 38.9 meter ([convert: unknown unit]) melanda semenanjung Omoe di bandar Miyako, Iwate.[10]

Jepun

Amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun adalah yang paling berat pada skala amarannya; ia dicatatkan sebagai "tsunami besar" yang tingginya tidak kurang 3 meter ([convert: unknown unit]) .[68] Jangkaan ketinggian tsunami pun berbeza-beza, yang mana yang tertinggi adalah di Miyagi pada ketinggian 6 meter ([convert: unknown unit]).[69] Tsunami ini membanjiri kawasan seluas kira-kira 561 km2 (217 bt2) di Jepun.[70]

Ketinggian turus air pada 11 Mac 2011 di Stesen DART, 690 batu nautika di tenggara Tokyo

Gempa bumi melanda pada jam 14:46 JST kira-kira 67 kilometer (42 bt) dari titik terdekat di garis pinggir pantai Jepun, maka pada awalnya tsunami dijangka mengambil masa 10 hingga 30 minit untuk melanda kawasan pertama yang terjejas, diikuti kawasan-kawasan di arah utara dan selatan berdasarkan bentuk bumi garis pinggir pantai.[71][72] Lebih sejam selepas gempa iaitu pada jam 15:55 JST, diperhatikannya tsunami yang membanjiri Lapangan Terbang Sendai yang terletak berdekatan pantai Wilayah Miyagi,[73] dengan ombak-ombak yang menghanyutkan kereta-kereta dan pesawat-pesawat serta membanjiri bangunan-bangunan ketika melanda pedalaman.[74][75] Wilayah Iwate dilanda tsunami setinggi 4 m.[76] Sekurang-kurangnya 101 tapak pemindahan mangsa tsunami yang ditetapkan juga dilanda oleh ombak raksasa.[77]

Seperti peristiwa gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004, kemusnahan akibat air melanda, sungguhpun lebih tersetempat, namun jauh lebih membinasa berbanding gempa. Timbulnya laporan seluruh pekan yang diranapkan oleh kawasan-kawasan yang dilanda tsunami di Jepun, termasuk 9,500 orang yang hilang akibat dihanyut di Minamisanriku;[78] seribu batang mayat dijumpai di pekan itu menjelang 14 Mac 2011.[79]

Antara punca-punca yang menyebabkan jumlah kematian yang begitu tinggi akibat tsunami itu ialah landaan air yang sungguh besar di luar jangkaan. Tembok-tembok perintang tsunami di beberapa bandar yang terjejas terbina berdasarkan ketinggian tsunami yang jauh lebih kecil. Selain itu, ramai orang yang dibaham ombak tsunami juga menyangka mereka berada di paras daratan yang cukup tinggi untuk terselamat.[80]

Tsunami membanjiri landasan pesawat Lapangan Terbang Sendai .

Sebahagian besar pekan Kuji dan kawasan selatan Ōfunato termasuk pelabuhannya ranap hampir kesemuanya sekali.[81][82] Turut menerima kemusnahan dahsyat ialah Rikuzentakata, di mana tsunami dilaporkan setinggi tiga tingkat.[83][84] Bandar-bandar lain yang dilaporkan ranap atau musnah teruk akibat tsunami ialah Kamaishi, Miyako, Ōtsuchi, dan Yamada (di wilayah Iwate), Namie, Sōma dan Minamisōma (di wilayah Fukushima) dan Shichigahama, Higashimatsushima, Onagawa, Natori, Ishinomaki, dan Kesennuma (di wilayah Miyagi).[85][86][87][88][89][90][91] Kesan tsunami yang paling teruk dirasai sepanjang rentang garis pinggir pantai sepanjang 670 kilometer (420 bt) dari Erimo di utara hingga Ōarai di selatan, dengan kebanyakan kemusnahan di kawasan itu berlaku pada sejam ekoran gempa. Dekat Ōarai, orang ramai mengambil gambar pusaran air besar yang terhasil oleh tsunami itu.[92] Tsunami tersebut menghanyutkan satu-satunya jambatan ke Miyatojima, Miyagi, menyebabkan 900 penduduk pulau itu terputus dari kawasan luar.[93] Tsunami setinggi dua meter melanda Wilayah Chiba kira-kira 2 1/2 jam selepas gempa, menyebabkan kemusnahan besar di bandar-bandar seperti Asahi.[94]

Pada 13 Mac 2011, Agensi Meteorologi Jepun menerbitkan butiran-butiran pemerhatian tsunami yang tercatat di sekitar garis pinggir pantai Jepun ekoran gempa. Pemerhatian ini termasuk bacaan tsunami maksimum melebihi 3 meter ([convert: unknown unit]) di tempat-tempat dan waktu-waktu yang berikut pada 11 Mac 2011, selepas gempa pada jam 14:46 JST:[95]

  • 15:12 JST – dekat Kamaishi – 6.8 meter ([convert: unknown unit])
  • 15:15 JST – Ōfunato – 3.2 meter ([convert: unknown unit])
  • 15:20 JST – Ishinomaki-shi Ayukawa – 3.3 meter ([convert: unknown unit])
  • 15:21 JST – Miyako – 4.0 meter ([convert: unknown unit]) ke atas
  • 15:21 JST – Kamaishi – 4.1 meter ([convert: unknown unit]) ke atas
  • 15:44 JST – Erimo-cho Shoya – 3.5 meter ([convert: unknown unit])
  • 15:50 JST – Sōma – 7.3 meter ([convert: unknown unit]) ke atas
  • 16:52 JST – Ōarai – 4.2 meter ([convert: unknown unit])

Bacaan-bacaan ini diperoleh dari stesen-stesen rekod yang diselenggara oleh Agensi Meteorologi Jepun di sekitar pinggir pantai Jepun. Banyak juga kawasan yang terjejas oleh ombak setinggi 1 hingga[convert: unknown unit]; buletin agensi tersebut juga menyiarkan kaveat bahawa "Di sesetengah bahagian pinggir pantai, tsunami mungkin lebih tinggi daripada yang diperhatikan di tapak-tapak pemerhatian." Jangka waktu rekod bacaan maksimum tsunami terawal adalah sekitar pukul 15:12 hingga 15:21, iaitu 26 hingga 35 minit selepas gempa melanda. Buletin ini juga menyiarkan butiran-butiran awal pemerhatian tsunami, di samping peta terperinci kawasan pantai yang tejejas oleh ombak tsunami.[96][97]

Menurut kaji selidik kerajaan Jepun, hanya 58% orang di kawasan tepi pantai wilayah-wilayah Iwate, Miyagi, dan Fukushima mematuhi amaran tsunami serta-merta selepas gempa lalu berpindah ke tempat tinggi. Di kalangan mereka yang cuba berpindah selepas mendengar amaran itu, hanya 5% dibaham tsunami. 49% mereka yang ingkar 49% dilanda air.[98]

Seluruh Pasifik

Seekor burung terperangkap dalam pasir di Atol Midway akibat tsunami, sebelum diselamatkan.

Sejurus selepas gempa bumi, Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) di Hawaii mengeluarkan arahan berjaga-jaga dan pengumuman tsunami bagi seluruh Pasifik. Pada jam 07:30 UTC, PTWC mengeluarkan amaran tsunami berleluasa yang meliputi seluruh Lautan Pasifik.[99][100] Rusia memindahkan 11,000 orang penduduk dari kawasan pantai Kepulauan Kuril. Pusat Amaran Tsunami Pantai Barat dan Alaska di Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan-kawasan pantai di sebahagian besar negeri California, seluruh negeri Oregon, dan kawasan barat negeri Alaska, serta peringatan tsunami yang meliputi garis pinggir pantai Pasifik di sebahagian besar Alaska, dan seluruh negeri Washington dan wilayah British Columbia, Kanada.[101][102] Di California dan Oregon, tsunami setinggi 2.4 m (8 batu) melanda sesetengah tempat dan mengakibatkan kemusnahan dok dan pelabuhan bernilai AS$10 juta.[103] Di Kaunti Curry, Oregon, kemusnahan bernilai $7 juta termasuk binasanya ruang limbungan sepanjang 3,600 kaki (1,100 m) di pelabuhan Brookings; kaunti tersebut telah menerima geran kecemasan sebanyak lebih $1 juta dari Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan.[104] Landaan air setinggi 1 m (3.3 batu) turut melanda Pulau Vancouver di Kanada[102] dan mendorong pemindahan penduduk dan larangan bot di perairan sekitar pulau selama 12 jam selepas landaan ombak, menyebabkan ramai penduduk pulau tidak dapat pergi ke tempat kerja.[105][106]

Bot-bot perikanan dialihkan ke tanah tinggi disebabkan ancaman tsunami, di Pichilemu, Chile

Di Filipina, ombak-ombak setinggi 0.5 m (1.6 batu) melanda kawasan pinggir laut timur negara. Di Jayapura, Indonesia, rumah-rumah di sepanjang pantai turut musnah akibat tsunami.[107] Pihak berkuasa Papua New Guinea memindahkan 100 orang pesakit dari Hospital Boram di bandar Wewak sebelum ia dilanda ombak, menyebabkan kerugian sekitar AS$4 juta.[108] Kerajaan Hawaii menjangka kemusnahan prasarana awam sahaja bernilai US$3 juta, sementara kerosakan pada harta milik persendirian, termasuk tempat penginapan percutian, dianggarkan bernilai puluh jutaan dolar.[109] Dilaporkan bahawa ombak setinggi 1.5 m (5 batu) menenggelamkan seluruh serokan terumbu Atol Midway dan Pulau Spit, membunuh lebih 110,000 ekor burung laut yang bersarang di Tempat Simpanan Hidupan Liar Negara Atol Midway.[110] Negara-negara Pasifik Selatan yang lain termasuk Tonga dan New Zealand, serta wilayah-wilayah AS di Samoa Amerika dan Guam, turut mengalami gelombang yang lebih besar daripada biasa, tetapi tidak melaporkan sebarang kemusnahan besar.[111]

Laporan tsunami melanda turut timbul di sepanjang pantai Pasifik di Mexico dan Amerika Selatan, tetapi di kebanyakan tempat itu tiada kesan kemusnahan yang ketara.[112] Peru melaporkan ombak setinggi 1.5 m (5 batu) dan lebih 300 rumah mengalami kerosakan.[112] Landaan tsunami di Chile cukup besar untuk was large enough to damage more than 200 houses,[113] with waves of up to 3 m (9.8 batu).[114][115] Di Kepulauan Galapagos, 260 buah keluarga menerima bantuan ekoran landaan ombak 3 m (9.8 batu) yang tiba 20 jam selepas gempa di Jepun, selepas amaran tsunami ditarik balik.[116][117] Tsunami itu meninggalkan kesan kemusnahan yang ketara ke atas bangunan-bangunan di kepulauan tersebut dan seorang lelaki cedera tetapi tiada sebarang laporan kematian.[116][118]

Ambelasan tanah

Ambelasan tanah dan pencecairan tanah dekat syaf lif Stesen Keretapi Shin-Urayasu.

Lembaga Maklumat Geospatial Jepun melaporkan ambelasan tanah pada paras tinggi stesen penyegitigaan yang disukat oleh GPS daripada nilai terdahulu pada 14 April 2011.[119]

Menurut para saintis, ambelasan ini adalah berkekalan. Natijahnya, petempatan-petempatan yang terbabit kini lebih terdedah kepada banjir ketika air pasang.[121]

Mangsa

Imej satelit MODIS yang bawah diambil pada 26 Februari, dan yang atas pada 13 Mac, selepas tsunami. Bandaraya Sendai kelihatan di sepertiga teratas kedua-dua gambar (bulatan merah di sebelah timur lautnya menandakan tempat kebakaran). Palang skalanya ialah 10 km.

Agensi Polis Negara secara rasminya mengesahkan bahawa 15,845[17][18] orang maut, 6,011[17][18] orang cedera, dan 3,339[17][18] lagi hilang di 16 wilayah.[122] Jumlah ini dijangka meningkat banyak lagi,[123] sehingga berpuluh ribu.

Daripada 13,135 mangsa korban yang dijumpai hingga 11 April 2011, 12,143 orang atau 92.5% mati kerana lemas. 65.2% mangsa yang maut berusia 60 tahun ke atas, termasuk 24% yang berusia dalam lingkungan 70-an.[124]

Kesan bencana di antara Sendai dan Teluk Sendai.

Pertubuhan amal Save the Children melaporkan bahawa seramai 100,000 orang kanak-kanak kehilangan tempat tinggal; ada di kalangan mereka yang terpisah dari keluarga kerana gempa berlaku pada waktu sekolah.[125] 236 orang kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat bencana ini.[126][127] Bencana gempa dan tsunami meragut nyawa 378 orang murid sekolah rendah, menengah dan tinggi, sementara 158 orang lagi hilang.[128] Terutama sekali, sebuah sekolah rendah di Ishinomaki, Miyagi, iaitu Sekolah Rendah Okawa, kematian 74 daripada 108 pelajar dan 10 daripada 13 kakitangan.[129][130][131]

Kementerian Luar Negara Jepun mengesahkan kematian 19 orang warga asing,[132] termasuk dua orang guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat yang menyertai program Japan Exchange and Teaching (JET);[133] seorang mubaligh berbangsa Kanada di Shiogama;[134] dan warganegara-warganegara China, Korea Utara dan Selatan, Taiwan, Pakistan dan Filipina.

Kemusnahan dan kesan

Panorama Semenanjung Hirota di Rikuzentakata hanyut
Foto utdara Minato yang musnah akibat gempa dan tsunami

Tahap kemusnahan yang disebabkan oleh gabungan gempa bumi dan tsunami memang dahsyat, khususnya kesan tsunami. Rakaman di bandar-bandar yang paling teruk terjejas memaparkan sekadar timbunan runtuhan batu, dan hampir tiada bangunan yang masih berdiri teguh.[135] Nilai kerugian akibat kerosakan dianggarkan sekitar berbiliob dolar Amerika Syarikat; gambar foto kawasan terjejas ambilan satelit sebelum dan selepas bencana menunjukkan betapa dahsyatnya kemusnahan di merata tempat.[136][137] Sungguhpun Jepun melaburkan berbilion dolar untuk membina tembok laut penghalang tsunami setinggi 12 meter (39 ka) yang menggarisi sekurang-kurangnya 40% daripada garis tepi laut sepanjang 22,000 batu, namun tsunami dengan mudahnya menjangkaui batasnya dan merosakkan sesetengah tembok laut itu.[138]

Kebakaran yang tercetus di Tokyo selepas gempa bumi.

Pada 3 April 2011, Agensi Polis Jepun berkata bahwa 45,700 buah bangunan musnah dan 144,300 lagi rosak akibat gempa dan tsunami. Antara yang rosak termasuk 29,500 binaan di Wilayah Miyagi, 12,500 di Wilayah Iwate dan 2,400 di Wilayah Fukushima.[139] 300 buah hospital dengan 20 katil ke atas di rantau Tōhoku menerima kerosakan akibat bencana ini, termasuk 11 buah yang binasa sepenuhnya.[140] Bencana gempa dan tsunami ini menyebabkan reruntuhan puing berjumlah 24–25 juta tan di Jepun.[141][142]

Saki-baki dihanyutkan ke laut

Sekitar 230,000 buah kereta dan lori rosak atau musnah akibat bencana ini. Setakat akhir Mei 2011, para penduduk wilayah-wilayah Iwate, Miyagi, dan Fukushima telah memohon penyahdaftaran sebanyak 15,000 buah kenderaan; ertinya kenderaan-kenderaan itu dikira musnah kerana tidak boleh dibaiki atau tidak boleh diselamatkan lagi.[143]

Loji kuasa nuklear

Stesen-stesen janakuasa Fukushima I, Fukushima II, Onagawa dan Tōkai yang terdiri daripada 11 reaktor ditutup secara automatik ekoran gempa bumi.[144] Higashidōri yang juga terletak di pantai timur laut, sedang ditutup untuk pemeriksaan bermusim ketika bencana berlaku. Penyejukan diperlukan untuk mengawal haba reput selama beberapa hari selepas loji ditutup. Proses penyejukan dijana oleh penjana diesel kecemasan, seperti di Loji Pemprosesan Semula Rokkasho.[145] Du Fukushima I dan II, ombak tsunami menjangkaui tembok laut dan memusnahkan sistem kuasa simpanan kecemasan, menyebabkan masalah teruk termasuk dua letupan besar di Fukushima I serta kebocoran radiasi. Lebih 200,000 orang diarah berpindah.[146]


Setelah genap sebulan kemelut nuklear ini, para pakar mengakui bahawa Fukushima I belum tentu kemalangan nuklear yang paling teruk, tetapi adalah yang paling rumit. Para pakar nuklear berkata bahawa Fukushima melakar sejarah sebagai kemalangan nuklear kedua paling teruk dalam sejarah; biarpun tidak seteruk bencana Chernobyl, tetapi lebih dahsyat daripada kemalangan Three Mile Island. Masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun terpaksa dimakan untuk mengetahui sejauh mana pelepasan isotop-isotop yang berbahaya memudaratkan kesihatan manusia dan bekalan makanan serta kawasan sekeliling kawasan bencana.[147]

Analisa-analisa selanjutnya mendapati bahawa tiga buah reaktor (Unit 1, 2, dan 3) telah mengalami peleburan dan masih kebocoran air pendingin.[15] Pada pertengahan tahun, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, ketua Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, serta ketua Agensi Sumber Alam dan Tenaga ketiga-tiganya dilucutkan jawatan.[148]

Loji Kuasa Nuklear Fukushima I dan II

Jepun mengisytiharkan darurat ekoran kerosakan sistem penyejukan di Loji Kuasa Nuklear Fukushima I, menyebabkan penduduk berdekatan terpaksa berpindah keluar.[149][150] Pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri telah melaporkan bahawa tahap radiasi dalam loji itu mencapai 1,000 kali tahap normal,[151] manakala radiasi di luar loji mencapai 8 kali tahap normal.[152] Kemudian, darurat turut diisytiharkan di Loji Kuasa Nuklear Fukushima II sekitar 11 km (7 batu) di selatan.[153] Oleh itu, terdapat enam buah reaktor nuklear yang mengalami kesusahan.[154]

Gambaran loji kuasa Fukushima, Unit 1 sebelum dan selepas kerosakan
Kelasi USN yang tiba untuk tugas kemanusiaan diperiksa untuk kededahan radiasi
Peta menunjukkan pusat gempa dan kedudukan loji nuklear

Sesium radioaktif dengan 58 Bq sekilogram air campur iodin, dan 177 Bq sekilogram air dikesan dalam air paip di Bandar Fukushima, Fukushima pada 16 Mac, 08:00 JST.[155] Pada 19 Mac, kerajaan Jepun melaporkan bahawa iodin radioaktif dilaporkan dalam air paip yang disampelkan pada 18 Mac di Tochigi, Gunma, Tokyo, Chiba, Saitama, dan Niigata, serta sesium radioaktif dalam air pili yang disampelkan pada 18 Mac di Tochigi dan Gunma, tetapi semuanya tidak melebihi had keselamatan negara.[156][157] Pada 5 April 2011, kerajaan Wilayah Ibaraki melarang kegiatan memancing belut pasir setelah mendapati bahawa spesies tersebut dicemari oleh sesium radioaktif yang melamapaui had selamat.[158]

Tempat lain

Bahagian turbin Loji Kuasa Nuklear Onagawa terbakar ekoran gempa.[145][159] Kebakaran itu terjadi di sebuah bangunan yang menempatkan turbin, dan terletak secara berasingan dari reaktor loji,[149] lalu dipadam serta-merta.[160] Loji itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.[161]

Pada 13 Mac, darurat tahap terendah diisytiharkan berkenaan loji Onagawa kerana sukatan radioaktif melebihi takat yang dibenarkan di kawasan sekitar logi buat masa yang singkat.[162].[163][164] Tohoku Electric Power Co. menyatakan bahawa ini mungkin disebabkan oleh radiasi dari kemalangan nuklear Fukushima I tetapi bukan dari loji Onagawa itu sendiri.[165]

Gegaran susulan pada 7 April menyebabkan terputusnya bekalan elektrik luaran kepada Loji Pemprosesan Semula Rokkasho dan Loji Kuasa Nuklear Higashidori tetapi penjana sandaran masih berfungsi. Loji Kuasa Nuklear Onagawa terputus 3 daripada 4 talian kuasa luaran serta tergendala fungsi pendinginannya selama lebih 80 minit. Tumpahan air radioaktif sebanyak beberapa liter berlaku di Onagawa.[166]

Reaktor nombor 2 di Loji Kuasa Nuklear Tōkai ditutup secara automatik.[144] Pada 14 Mac, dilaporkan bahawa pam sistem pendingin reaktor ini berhenti berjalan;[167] bagaimanapun, Syarikat Kuasa Atom Jepun menjelaskan bahawa terdapat satu lagi pam yang menampung sistem pendingin, tetapi dua daripada tiga penjana diesel yang digunakan untuk menjana sistem pendingin sudah rosak.[168]

Empangan dan bekalan air

Empangan pengairan Fujinuma di Sukagawa pecah,[169] menyebabkan banjir yang menghanyutkan rumah-rumah.[170] Lapan orang dilaporkan hilang dan empat mayat ditemui pada pagi keesokannya.[171][172][173] Dilaporkan bahawa ada orang tempatan yang cuba membaiki kebocoran pada empangan sebelum rosak sepenuhnya.[174]

Sekurang-kurangnya 1.5 juta rumahtangga dilaporkan terputus bekalan air.[175]

Elektrik

Menurut Tohoku Electric, sekitar 4.4 juta rumah tangga di kawasan timur laut Japan terputus bekalan elektrik.[176] Beberapa loji janakuasa nuklear dan biasa ditutup selepas gempa bumi. Pemutusan bekalan elektrik secara beransur-ansur bermula pada 14 Mac ekoran kekurangan bekalan elektrik akibat gempa.[177] Tokyo Electric Power Company (Tepco), yang biasanya menyalurkan tenaga elektrik sebanyak kira-kira 40 GW, mengumumkan bahawa pihaknya hanya dapat membekalkan sekitar 30 GW, kerana 40% bekalan elektrik yang digunakan di kawasan Tokyo raya kini dibekalkan oleh reaktor di wilayah-wilayah Niigata dan Fukushima.[178] Dua daripada reaktor itu, iaitu Fukushima Dai-ichi dan Fukushima Dai-ni, ditutup secara automatik apabila gempa pertama berlaku, lalu menerima kerosakan teruk akibat gempa dan tsunami. Pemutusan tenaga elektrik selama tiga jam sehari dijangka berterusan hingga akhir April di wilayah-wilayah Tokyo, Kanagawa, Shizuoka, Yamanashi, Chiba, Ibaraki, Saitama, Tochigi, dan Gunma.[179]

Bahan api

Kebakaran kilang penapisan Cosmo Oil di Ichihara

Kilang penapisan minyak 220,000 tong sehari[180] milik Cosmo Oil Company terbakar akibat gempa di Ichihara, Wilayah Chiba, di timur Tokyo.[181] Kebakaran besar turut terletus di tempat lain, seperti di bandar Kesennuma.[182][183]

Di Sendai, sebuah kilang penapisan minyak 145,000 tong sehari milik syarikat penapisan terbesar Jepun, JX Nippon Oil & Energy, turut kebakaran akibat gempa.[180] Para pekerjanya sempat mengosongkan premis,[184] tetapi amaran tsunami menghalang kerja memadam api sehingga 14 Mac.[180]

Seorang penganalisa menganggarkan bahawa penggunaan pelbagai jenis bahan api bakal meningkat sebanyak 300,000 tong (48,000 m3) sehari (begitu juga dengan gas asli cair), apabila loji janakuasa sandaran yang membakar bahan api fosil cuba menampung kehilangan kapasiti kuasa nuklear Jepun sebanyak 11.[185][186]

Loji mengimport gas asli cecair milik pemerintah bandaraya Sendai rosak teruk, maka bekalan terputus selama kira-kira sebulan.[187]

Pengangkutan

Rangkaian pengangkutan Jepun mengalami gangguan teruk. Sebahagian besar Lebuh Raya Tōhoku di Jepun utara mengalami kemusnahan.[188] Semua perkhidmatan rel digantung di Tokyo, menyebabkan seramai 20,000 orang terkandas di stesen-stesen utama di seluruh kota.[189] Berjam-jam selepas gempa berlaku, sesetengah khidmat tren dipulihkan.[190] Kebanyakan landasan tren di kawasan Tokyo kembali berkhidmat penuh pada hari keesokannya, 12 Mac.[191] 20,000 pelawat terkandas bermalam di Tokyo Disneyland pada malam 11–12 Mac.[192]

Sebuah ombak tsunami membanjiri Lapangan Terbang Sendai pada 15:55 JST,[73] kira-kira sejam selepas gempa pertama. Kedua-dua lapangan terbang Narita dan Haneda turut menggantung operasi selepas gempa, maka kebanyakan penerbangan ke situ dilencongkan ke lapangan lain selama kira-kira 24 jam.

Penumpang terkandas dalam keretapi Tokyo. Gangguan besar pada pengangkutan tren, jalan raya dan udara, berlaku di Tokyo dan Jepun timur laut juga.

Banyak perkhidmatan tren di merata Jepun turut dibatalkan, khususnya JR East yang menggantungkan segala perkhidmatan sampai akhir hari.[193] Empat tren pada landasan pantai dilaporkan putus hubungan dengan pengendalinya; salah satu daripadanya, tren empat gerabak di Laluan Senseki, didapati terbabas, tetapi penumpangnya sempat diselamatkan kira-kira jam 8 pagi keesokannya.[194] Tren laju Shinkansen tidak mengalami kebabasan di dalam dan luar Tokyo, tetapi khidmatnya juga digantung. Tōkaidō Shinkansen memulihkan khidmat terhad di akhir hari dan kembali ke jadual bisanya pada hari keesokan, manakala Jōetsu dan Nagano Shinkansen kembali berkhdimat pada 12 Mac. Tōhoku Shinkansen mengalami kerosakan ketara pada tiang elektrik dan landasan bertingkat, apalagi keadaan landasan di kawasan yang paling teruk terjejas masih sukar dipastikan.[195] Setelah diberhentikan lebih lama daripada khidmat Shinkansen yang lain, Tōhoku Shinkansen kembali separa berkhidmat pada 15 Mac, dengan satu perjalan pergi bali setiap jam antara Tokyo dan Nasu-Shiobara.[196]

Perintah putus bekalan elektrik akibat krisis di loji kuasa nuklear di Fukushima mendatangkan kesan mendalam pada rangkaian rel sekitar Tokyo sejak 14 Mac. Syarikat tren besar mulai mengendali tren pada selang 10–20 minit (biasanya 3–5 minit), mengendali sesetengah aliran pada waktu puncak sahaja, sementara menutup aliran-aliran yang lain (khususnya Laluan Utama Tokaido, Laluan Yokosuka, Laluan Utama Sobu dan Laluan Chuo-Sobu kesemuanya digantung pada hari itu).[197] Ini menyebabkan ibu kota hampir lumpuh kerana orang ramai terpaksa berbaris lama untuk menaiki tren hingga ada yang tidak dapat pergi ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Pihak pengendali tren beransur-ansur meningkatkan kapasiti pada hari-hari berikutnya, sehingga mencapai kapasiti 80% pada 17 Mac, sekaligus meringankan kesesakan penumpang yang paling teruk.

Telekomunikasi

Perkhidmatan telefon bimbit dan talian tetap mengalami gangguan besar di kawasan yang terjejas.[198] Bagaimanapun, kebanyakan perkhidmatan Internet masih dapat dilencongkan dari kerosakan talian;[199] hanya sebilangan kecil tapak web yang tidak dapat dibuka pada mulanya.[200] Beberapa pembekal hotspot Wi-Fi bertindak dengan menyediakan capaian percuma ke dalam rangkaian masing-masing.[200]

Akibat

Bencana berganda gempa bumi dan tsunami ini mengakibatkan kemelut kemanusiaan dan juga kesan dahsyat pada ekonomi. Tsunami ini menyebabkan 300,000 orang kehilangan tempat tinggal di kawasan Tōhoku, di samping kekurangan bekalan makanan, air, tempat berteduh, ubat-ubatan dan bahan api bagi mangsa-mangsa yang terselamat. Untuk itu, kerajaan Jepun mengerahkan Pasukan Pertahanan Dirinya sementara negara-negara lain menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke Jepun untuk membantu mencari mangsa. Pertubuhan-pertubuhan kebajikan di dalam dan luar negara Jepun turut bertindak menghulurkan bantuan, terutamanya pertubuhan Palang Merah Jepun yang melaporkan dermaan sebanyak $1 bilion. Kesan pada ekonomi termasuk masalah jangka terdekat seperti pemberhentian kegiatan di kebanyakan kilang, dan juga isu jangka panjang seperti usaha pembinaan semula yang dijangka menelan belanja ¥10 trilion ($122 bilion).

Tindak balas sains dan penyelidikan

Terkumpulnya sejumlah besar data yang menawarkan "kemungkinan memodelkan secara terperinci sekali apa yang berlaku apabila gempa bumi pecah."[12] Kesan data ini dijangka terasa di bidang-bidang lain, dan bencana ini "akan menyediakan maklumat luar jangkaan tentang bagaimana bangunan bertahan ketika digoncang lama-lama, dan dengan itu bagaimana untuk meningkatkan mutu binaan."[201]

Para ahli seismologi telah menduga bahawa "gempa terbesar" bakal melanda tempat yang sama dengan gempa bumi besar Kantō 1923, iaitu Jurang Sagami di barat daya Tokyo.[202][203] Sejak tahun 1976, apabila seorang ahli seismologi, Katsuhiko Ishibashi berhujah akan datangnya gempa bumi gergasi di Jurang Suruga, pihak kerajaan mengesan pergerakan plat sebagai persediaan untuk sebuah gempa bumi di kawasan Tōkai.[204] Gempa bumi Tōhoku yang berlaku 373 km (232 mi) ke timur laut Tokyo memeranjatkan para ahli seismologi kerana walaupun Jurang Jepun digeruni kerana mampu menyebabkan gempa besar, namun ia tidak dijangka menimbulkan gempa yang melebihi magnitud 8.0.[203][204]

Lihat juga

Rujukan

Rujukan luar