Pembalighan

 

Pembalighan (atau puberti) ialah proses perubahan fizikal sewaktu tubuh badan kanak-kanak mengalami pematangan menjadi dewasa yang menjadi berupaya untuk membiak. Ia dimulakan oleh isyarat hormon dari otak ke gonad-gonad seperti ovari pada perempuan dan testis pada lelaki. Sebagai tindak balas kepada isyarat, gonad menghasilkan hormon yang merangsang libido serta pertumbuhan, pemfungsian, dan transformasi pada otak, tulang, otot, darah, kulit, rambut, payudara dan organ pembiakan. Pertumbuhan fizikal yang ketara pada perubahan ketinggian dan berat badan mempercepat pada separuh pertama akil baligh dan selesai apabila badan dewasa telah matang. Sebelum proses pembalighan, organ seks luar, yang dikenali sebagai ciri seksual primer, adalah ciri seks yang membezakan lelaki dan perempuan. Pembalighan membawa kepada dimorfisme seks melalui perkembangan ciri-ciri seks sekunder, yang selanjutnya membezakan dua jantina.

Puratanya, kanak-kanak perempuan mula proses pembalighan pada umur 10–11 dan selesai proses pembalighan pada umur 15–17; kanak-kanak lelaki biasanya mula proses pembalighan pada umur 11–12 dan selesai proses pembalighan pada umur 16–17.[1][2][3] Tanda utama akil baligh bagi wanita ialah menarke, yakni saat permulaan haid yang berlaku secara purata antara umur 12 dan 13 tahun.[2] Bagi lelaki, ejakulasi pertama yakni spermarke berlaku secara purata pada umur 13 tahun.[4] Pada abad ke-21, purata umur kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan, mencapai penanda akil baligh yang spesifik adalah lebih rendah berbanding abad ke-19, yakni umur 15 tahun untuk kanak-kanak perempuan dan 17 tahun untuk kanak-kanak lelaki (dengan umur kedatangan haid pertama untuk budak perempuan dan pemecahan suara untuk budak lelaki sebagai contoh).[5] Hal ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk pemakanan yang lebih baik yang mengakibatkan kecepatan pertumbuhan badan, peningkatan berat badan serta pemendapan lemak,[6] atau pendedahan terhadap pengganggu endokrin seperti xenoestrogen, yang kadangkala boleh disebabkan oleh pengambilan makanan atau faktor persekitaran yang lain.[7][8] Walau bagaimanapun, penyelidikan arkeologi yang lebih moden menunjukkan bahawa kadar akil baligh seperti yang berlaku pada masa kini adalah kadar yang sepatutnya. Lonjakan pertumbuhan bermula pada sekitar 10–12, tetapi penanda peringkat akil baligh yang lebih baru seperti menarke mempunyai kelewatan yang dikaitkan dengan keadaan persekitaran yang teruk seperti kemiskinan, pemakanan yang buruk, udara dan pencemaran.[9][10][11] Akil baligh yang bermula lebih awal daripada biasa dikenali sebagai pembalighan pramatang, dan pembalighan yang bermula lewat daripada biasa dikenali sebagai pembalighan tertunda. .

Antara perubahan morfologi dari segi saiz, bentuk, komposisi, dan fungsi badan baligh, perkembangan ciri seks sekunder adalah yang paling penting yang boleh diibaratkan sebagai penukaran badan kanak-kanak daripada kanak-kanak ke dewasa. Berasal daripada bahasa Latin puberatum (umur kematangan), perkataan puberti menggambarkan perubahan fizikal ke arah kematangan seksual, bukan kematangan psikososial dan budaya yang dilambangkan dengan istilah perkembangan remaja dalam budaya Barat, apabila masa remaja ialah tempoh peralihan mental dari zaman kanak-kanak kepada dewasa, yang bertindih sebahagian besar tempoh pembalighan badan.[12]

Lihat juga

  • Pembalighan tertunda
  • Sindrom Kallmann
  • Pembalighan pramatang
  • Puberfonia
  • Ciri-ciri seks sekunder
  • Perencat pembalighan

Rujukan

Pautan luar