Berlin

Berlin ialah ibu negara Jerman yang merupakan bandar raya kelima terbesar di negara itu dari segi keluasan dan jumlah penduduk, serta bandar raya yang kedua terbesar dan yang terpadat di Kesatuan Eropah.

Berlin
Berlin
Berlin
Berlin
Bendera Berlin
Bendera
Mohor rasmi bagi Berlin
Mohor
Negara  Jerman
Mukim 12
Kerajaan
 - Datuk bandarFranziska Giffey (SPD)
 - Regierender Bürgermeister
Kawasan
 - Bandar344.3 batu persegi (891.82 km²)
Kepadatan (03/2010)
 - Bandar3,440,440
 - Kaw. perbandaran3,700,000
 - Metro5,955,532
Zon masaCET (UTC+1)
 - Musim panas (DST)CEST (UTC+2)
Kod kawasan30
Laman web: berlin.de

Kini, Berlin merupakan salah satu pusat politik, budaya, dan sains Eropah yang terpengaruh. [1][2] Bandar raya ini bertindak sebagai persimpangan yang penting dalam pengangkutan negara dan benua, dan merupakan destinasi pelancongan dan membeli-belah yang utama serta dikenali untuk berbagai-bagai tempat konvensyen dan saluran keluar media. [3][4][5] Berlin ialah tempat asal untuk sebilangan universiti, pusat pendidikan penyelidikan, teater, dan muzium yang terutama di dunia. [6]

Metropolis ini yang berubah dengan begitu pesat kini telah mencapai reputasi antarabangsa lantaran perayaan, hiburan malam, seni bina semasa dan seni-seni avant-garde. [7][8] Sebagai tempat tinggal untuk pelbagai orang dari lebih 180 buah negara, Berlin ialah 'magnet' untuk orang-orang yang tertarik kepada gaya hidup yang liberal, eklektisisme bandar, dan kebebasan kesenian. [9] [10]

Dicatatkan buat pertama kalinya pada abad ke-13, Berlin merupakan ibu kota Kemaharajaan Prusia pada tahun 1701, Empayar Jerman pada tahun 1871, dan terus memainkan peranan sebagai ibu kota semasa Republik Weimar serta Reich Ketiga sehingga 1945. Pada masa pembahagian, Republik Demokratik Jerman menuntut Berlin Timur sebagai ibu negaranya, sedangkan Berlin Barat merupakan pulau demokrasi yang dikelilingi oleh Jerman Timur. Menyusul Penyatuan semula Jerman pada tahun 1990, Berlin sekali lagi menjadi ibu negara Jerman.

Sejarah

Nama Berlin tidak tentu asal-usulnya, dan barangkali berasal daripada imbuhan berl-/birl- ("paya") daripada bahasa Polabia lama.[11]

Peta Berlin (1688)

Bukti terawal keberadaan penempatan di kawasan pusat Berlin masa kini merupakan sebatang rasuk kayu yang bertarikh sekitar tahun 1192.[12] Catatan terawal mengenai bandar-bandar di kawasan Berlin bertarikh akhir abad ke-12. Penempatan Spandau paling awal disebut pada tahun 1197, dan Köpenick pula pada tahun 1209, tetapi kedua-dua tempat tersebut tidak bergabung dengan Berlin sehingga tahun 1920.[13] Kawasan pusat Berlin dipercayai berasal daripada dua bandar, iaitu Cölln di Fischerinsel yang pertama kali disebut dalam catatan tahun 1237, dan Berlin yang terletak di seberang sungai Spree di kawasan yang kini dipanggil Nikolaiviertel, dipetik daripada catatan bertarikh 1244.[12] Tahun 1237 dianggap sebagai "tarikh penubuhan" Berlin. Semenjak hari-hari terawalnya, kedua-dua bandar tersebut membentuk sebuah unit sosial dan ekonomi. Pada tahun 1307, kedua-dua bandar tersebut akhirnya bergabung. Lama-kelamaan, kedua-dua bandar bergabung ini kini dikenali sebagai sebuah kota bernama Berlin.

Pada tahun 1435, Frederick I menjadi pemilih kepada Margraviat Brandenburg yang diperintahnya sehingga tahun 1440.[14] Pewarisnya, iaitu Frederick II, mengasaskan Berlin sebagai ibu kota margraf, diikuti ahli-ahli kerabat Hohenzollern bersilih ganti sehingga tahun 1918 di Berlin, mula-mulanya selaku pemilih Brandenburg, kemudian raja Prusia, dan akhirnya maharaja Jerman. Pada tahun 1448, warga kota melancarkan pemberontakan “Kemarahan Berlin” terhadap pembinaan istana diraja baru oleh Frederick II, tetapi pemberontakan itu gagal, menyebabkan rakyat jelata banyak kehilangan kepentingan politik dan ekonomi. Pada tahun 1451, Berlin menjadi penempatan diraja para pemilih Brandenburg, maka Berlin terpaksa melepaskan tarafnya sebagai kota Liga Hansa yang bebas. Dalam tahun 1539, pemilih-pemilih dan bandar itu secara rasminya mengikuti aliran Lutheranisme.[15]

Abad ke-17 hingga ke-19

Frederick Agung ialah salah seorang raja berihsan di Eropah.

Perang 30 Tahun yang berlangsung dari tahun 1618 hingga 1648 mengakibatkan kota Berlin kemusnahan satu pertiga rumah-rumah dan kehilangan separuh penduduknya.[16] Frederick William yang dikenali sebagai “Pemilih Agung” dan yang baru menggantikan ayahandanya Georg Wilhelm selaku pemerintah pada tahun 1640, melaksanakan dasar memupuk penghijrahan masuk dan hubungan baik antara pelbagai golongan agama. Berikutan keluarnya Titah-Perintah Potsdam pada tahun 1685, Frederick William menawarkan perlindungan kepada kelompok Huguenot dari Perancis. Lebih 15,000 orang Huguenot berpindah ke Brandenburg, 6,000 daripadanya menetap di Berlin. Menjelang tahun 1700, kira-kira 20% penduduk Berlin berketurunan Perancis, lantas meninggalkan pengaruh kebudayaan yang mendalam di kota itu. Ramai lagi pendatang asing berasal dari Bohemia, Poland, dan kota Salzburg.

Berlin menjadi ibu kota Empayar Jerman pada tahun 1871 dan pesat meluas pada tahun-tahun berikutnya. (Unter den Linden dalam tahun 1900)

Setelah Frederick I dimahkotakan sebagai raja (di Königsberg) pada tahun 1701, Berlin menjadi ibu kota Kemaharajaan Prusia. Pada 1740, Frederick II, juga dikenali sebagai Frederick Agung (1740–1786) menaiki takhta pula untuk melaksanakan pemerintahan berteraskan falsafah yang menjadikan Berlin sebagai pusat Kesedaran. Berikutan kemenangan Perancis di Perang Campuran Keempat, Napoleon Bonaparte berangkat masuk ke Berlin pada tahun 1806, tetapi mengurniakan pemerintahan diri kepada kota ini. Pada tahun 1815, kota ini menjadi sebahagian Wilayah Brandenburg yang baru.

Revolusi Perindustrian mengubah wajah Berlin pada abad ke-19, apabila ekonomi dan penduduk bandar raya ini bertumbuh secara mendadak, lalu menjadi pusat ekonomi dan hab kereta api utama Jerman. Lambat laun munculnya kawasan subbandar baru yang meluaskan lagi kawasan dan kependudukan Berlin. Pada tahun 1861, kawasan pinggir bandar termasuk Wedding, Moabit, dan lain-lain lagi digabungkan dengan kota Berlin. Pada tahun 1871, Berlin menjadi ibu kota Empayar Jerman yang baru ditubuhkan. Pada 1 April 1881, kota Berlin menjadi daerah yang berasingan daripada wilayah Brandenburg.

Abad ke-20

Berlin dalam keadaan serba musnah selepas Perang Dunia II (Potsdamer Platz, 1945).

Pada penghujung Perang Dunia I pada tahun 1918, Republik Weimar diisytiharkan di Berlin. Pada tahun 1920, Akta Berlin Raya menyatukan berpuluh-puluh kawasan subbandar, desa, dan tanah-tanah di sekeliling Berlin menjadi sebuah kota raya yang memakan kebanyakan kawasan wilayah Brandenburg. Selepas peluasan itu, Berlin mempunyai lebih kurang empat juta penduduk.

Pada 30 Januari 1933 (Machtergreifung), telah berkuasanya Adolf Hitler dan Parti Nazi di Jerman. Pemerintahan Nazi menghapuskan masyarakat Yahudi di Berlin yang pernah mencecah angka 170,000 sebelum tahun 1933. Selepas peristiwa pogrom Kristallnacht pada tahun 1938, beribu-ribu orang Yahudi Jerman di Berlin dipenjarakan di kem tumpuan Sachsenhausen yang berdekatan, atau pada awal tahun 1943, dihantar ke kem maut seperti Auschwitz. Ketika zaman perang, kebanyakan kawasan Berlin diranapkan oleh serangan udara pada tahun 1943–45 dan Pertempuran Berlin di darat. Selepas tamatnya perang di Eropah pada tahun 1945, Berlin dimasuki ramai orang pelarian dari wilayah-wilayah Timur. Kuasa-kuasa yang memenangi perang membahagikan kota Berlin kepada empat pecahan, seiring dengan sistem kawasan pendudukan yang membahagikan negara Jerman. Pecahan Sekutu Barat (Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Perancis) membentuk Berlin Barat, sementara pecahan Soviet membentuk Berlin Timur.[17]

Tembok Berlin pada tahun 1986, diconteng di sebelah baratnya. Sesiapa yang cuba melintas tembok ini boleh ditembak.

Keempat-empat kuasa tersebut berkongsi tanggungjawab untuk memastikan keselamatan Berlin. Bagaimanapun, perselisihan politik yang menjadi-jadi antara Sekutu Barat dan Kesatuan Soviet menyebabkan kuasa komunis yang mengawal wilayah di sekeliling Berlin, mengenakan Kepungan Berlin, iaitu pengepungan ekonomi Berlin Barat. Para sekutu barat berjaya mengatasi kepungan itu dengan mengangkut bekalan makanan dan lain-lain barangan melintasi Kepungan tersebut ke kota dari 24 Jun 1948 hingga 11 Mei 1949.[18] Pada tahun 1949, Republik Persekutuan Jerman diasaskan di Jerman Barat, merangkumi seluruh kawasan penguasaan Amerika, British dan Perancis, kecuali zon ketiga-tiga kuasa tersebut di kota Berlin, sementara Republik Demokratik Jerman yang berideologi Marxisme-Leninisme diisytiharkan di Jerman Timur. Berlin Barat kekal sebagai kota bebas yang terpisah daripada Republik Persekutuan Jerman, di samping mengeluarkan setem pos tersendiri. Penerbangan ke Berlin Barat hanya dibenarkan kepada syarikat Amerika, British dan Perancis.

Pengasasan dua buah negeri Jerman memburukkan lagi perbalahan Perang Dingin. Berlin Barat dikelilingi oleh wilayah penguasaan Jerman Timur yang mengisytiharkan Berlin Timur (yang hanya dipanggilnya "Berlin") sebagai ibu negara tanpa pengiktirafan kuasa-kuasa Barat. Walaupun hanya diliputi separuh keluasan dan penduduk, Berlin Barat tetap melingkungi pusat bersejarah kota tersebut. Kerajaan Jerman Barat pula menubuhkan pusat pentadbiran sementara di Bonn.[19]

Pertelingkahan antara timur dan barat membawa kepada pembinaan Tembok Berlin antara Berlin Timur dan Barat dan halangan-halangan lain di sekitar Berlin Barat oleh pihak Jerman Timur pada 13 Ogos 1961 diburukkan lagi oleh perselisihan berkereta kebal di Checkpoint Charlie pada 27 Oktober 1961. Berlin Barat menjadi sebahagian Jerman Barat secara de facto dengan taraf sah yang tersendiri, sementara Berlin Timur menjadi sebahagian Jerman Timur.

Tumbangnya Tembok Berlin pada tahun 1989.

Akibatnya, Berlin dibelah dua sepenuhnya. Penduduk Barat boleh melintasi sempadan antara kedua-dua bahagian Berlin hanya melalui tempat pemeriksaan yang dikawal ketat. Malangnya, penduduk Timur pula langsung tidak boleh memasuki Berlin Barat mahupun Jerman Barat. Pada tahun 1971, satu perjanjian empat kuasa menjamin capaian antara Jerman Timur ke Berlin Barat, sekaligus menyelesaikan masalah kemungkinan pencerobohan dan penutupan laluan-laluan.[20]

Pada 9 November 1989, tekanan daripada para penduduk Jerman Timur akhirnya memecahkan Tembok Berlin sehingga berkecai. Kini, sedikit sahaja sisa tinggalan tembok tersebut. East Side Gallery di Friedrichshain berhampiran jambatan Oberbaumbrücke di atas Sungai Spree menyimpan secebis tembok ini. Sistem ekonomi pasaran dan demokrasi akirnya mencapai Jerman Timur dan Berlin Timur.

Pada 3 Oktober 1990, kedua-dua pecahan Jerman disatukan semula menjadi Republik Persekutuan Jerman, sementara Berlin menjadi ibu negara Jerman mengikut perjanjian penyatuan semula. Pada Jun 1991, Parlimen Jerman iaitu Bundestag mengundi agar ibu negara Jerman (Barat) dipindahkan dari Bonn kembali ke Berlin. Pada tahun 1999, parlimen dan kerajaan Jerman mula bertugas di Berlin.

Geografi

Kedudukan

Berlin terletak di bahagian timur Jerman, kira-kira 70 kilometer (40 batu) ke barat sempadan dengan Poland. Rekabentuk Berlin telah dibentukkan oleh kepingan ais semasa zaman ais. Pusat bandaraya terletak di sepanjang sungai Spree di dalam Berlin-Warsaw Urstromtal (lembah sungai purba), dibentuk oleh air yang mengalir dari kepingan-kepingan ais yang mencair pada hujung zaman ais. Urstromtal terletak di antara dataran rendah Barnim ke utara, dan dataran Teltow ke selatan. Dalam Spandau, borough Berlin paling barat, Sungai Spree akan bertemu dengan sungai Havel, yang mengalir dari utara dari selatan menerusi Berlin barat. Arah Havel lebih kepada rantarian tasik-tasik, yang paling besar adalah Tegeler See dan Großer Wannsee. Terdapat juga serangkaian tasik yang mengalir ke Spree tinggi, yang mengalir menerusi Großer Müggelsee di Berlin timur.

Pemandangan Pusat Bandar Berlin.

Kebanyakan kawasan Berlin masa kini berhubung dengan penara-penara rendah di kedua-dua belah Lembah Spree. Sebahagian besar kawasan Reinickendorf dan Pankow terletak di penara Barnim, sementara kebanyakan kawasan Charlottenburg-Wilmersdorf, Steglitz-Zehlendorf, Tempelhof-Schöneberg, dan Neukölln pula di penara Teltow. Sebahagian kawasan Spandau terletak dalam Urstromtal Berlin dan sebahagian lagi di Dataran Nauen yang menjangkau kawasan barat Berlin. Aras-aras tertinggi di Berlin adalah bukit-bukit Teufelsberg dan Müggelberge, kedua-duanya setinggi 115 meter (377 kaki). Teufelsberg sebenarnya merupakan timbunan pecahan batu buatan manusia yang terhasil dari sisa-sisa Perang Dunia II.

Iklim

Pinggir kota Berlin diliputi kawasan hutan dan tasik.

Berlin mengalami iklim sederhana/mesotermal (Cfb), menurut sistem pengelasan iklim Köppen.

Pada musim panas, suhu tinggi berpurata 22–25 °C dan suhu rendah 12–14 °C, sementara pada musim sejuk purata suhu tinggi berpurata 4 °C dan purata suhu rendah −2 hingga 0 °C. Musim bunga dan luruhnya sedikit dingin pada amnya. Kawasan binaan Berlin menimbulkan mikroiklim yang mana haba disimpan oleh bangunan-bangunan di kota. Suhu di bandar raya lebih 4 °C (7 °F) berbanding kawasan sekelilingnya.[21]

Taburan hujan tahunan adalah 22.4 inci (570 milimeter) iaitu curahan hujan sederhana sepanjang tahun. Salji turun secara ringan dari bulan Disember hingga Mac, tetapi tidak tahan lama di atas tanah.[22]

 Suhu dan kerpasan purata untuk Berlin 
BulanJanFebMacAprMeiJunJulOgoSepOktNovDisTahun
Suhu tinggi purata °C (°F)2.9
(37)
4.2
(40)
8.5
(47)
13.2
(56)
18.9
(66)
21.6
(71)
23.7
(75)
23.6
(74)
18.8
(66)
13.4
(56)
7.1
(45)
4.4
(40)
11.6
(53)
Suhu rendah purata °C (°F)−1.9
(29)
−1.5
(29)
1.3
(34)
4.2
(40)
9.0
(48)
12.3
(54)
14.3
(58)
14.1
(57)
10.6
(51)
6.4
(44)
2.2
(36)
−0.4
(31)
5.9
(43)
Kerpasan mm (inci)42
(1.7)
33
(1.3)
41
(1.6)
37
(1.5)
54
(2.1)
69
(2.7)
56
(2.2)
58
(2.3)
45
(1.8)
37
(1.5)
44
(1.7)
55
(2.2)
571
(22.5)
Sumber: http://www.worldweather.org/016/c00059.htm 2009-09-07

Pandangan bandar

Kota Berlin sepanjang Sungai Spree dan pemancar TV pada waktu malam.

Wajah kota Berlin hari ini banyak dibentuk oleh peranan pentingnya dalam sejarah negara Jerman pada abad ke-20. Satu demi satu kerajaan kebangsaan bersilih ganti berpusatkan kota Berlin, iaitu Empayar Jerman 1871, Republik Weimar, Jerman Nazi, Jerman Timur, dan kini Jerman yang bersatu semula, setiap satunya melancarkan rancangan pembinaan yang bercita-cita tinggi, setiap satunya lain ciri-cirinya. Berlin habis diranapkan oleh serangan bom pada Perang Dunia II, memeritkan lagi kebanyakan bangunan lama yang terselamat dari bedilan bom terpaksa dirobohkan pada 1950-an dan 1960-an, memberi laluan kepada rancangan pembinaan perbandaran untuk membina kawasan perumahan atau perniagaan dan jalan raya baru.

One-World Buddy Bear (Berlin Beruang)

Di kawasan timurnya dijumpai banyak sekali Plattenbauten sebagai peninggalan cita-cita Blok Timur untuk membina kawasan perumahan yang dilengkapi kedai, tadika dan sekolah. Reka seni orang merah hijau pada lampu isyarat pelintas, iaitu Ampelmännchen, turut dijumpai di merata kawasan Timur. Sejarah terkini Berlin yang tersendiri ini telah meninggalkan beraneka reka bina di seluruh bandar raya.

Kerajaan

Bangunan Reichstag ialah tempat terletaknya parlimen Jerman.

Berlin ialah ibu kota Republik Persekutuan Jerman dan juga pusat Presiden Jerman yang berkediaman rasmi di Schloss Bellevue.[23] Semenjak Jerman disatukan semula pada 3 Oktober 1990, Berlin menjadi salah sebuah daripada tiga negeri kota di samping Hamburg dan Bremen, di kalangan 16 negeri di Jerman masa kini. Bundesrat ("majlis persekutuan") ialah pewakilan Negeri-Negeri Persekutuan (Bundesländer) di Jerman yang berpusat di bekas Herrenhaus (Dewan Ketuanan) Prusia. Kebanyakan kementerian berpusat di Berlin, tetapi ada kementerian dan jabatan kecil berpusat di Bonn, bekas ibu negara Jerman Barat. Kesatuan Eropah juga melabur dalam beberapa projek dalam bandaraya Berlin. Rancangan prasarana, pendidikan dan sosial dibiayai bersama belanjawan yang dipetik dari dana kepaduan EU.[24]

Negeri kota

Dewan Perwakilan (Abgeordnetenhaus) ialah parlimen negeri Berlin yang ada 141 kerusi, manakala Senat Berlin (Senat von Berlin) ialah cabang eksekutifnya. Senat Berlin terdiri daripada Datuk Bandar Pentadbir (Regierender Bürgermeister) dan sebanyak lapan senator yang memegang jawatan kementerian, salah seorangnya memegang gelaran rasmi "Datuk Bandar" (Bürgermeister) sebagai timbalan Datuk Bandar Pentadbir.

Datuk Bandar Pentadbir juga memainkan peranan Lord Mayor bandaraya (Oberbürgermeister der Stadt) dan Perdana Menteri Negeri Persekutuan (Ministerpräsident des Bundeslandes). Pejabat Datuk Bandar Pentadbir Berlin terletak di Rotes Rathaus (Dewan Bandaraya Merah). Sejak tahun 2001, jawatan ini dipegang oleh Klaus Wowereit.[25]

Jumlah belanjawan tahunan negeri Berlin pada tahun 2007 mencecah €20.5 bilion termasuk lebihan €80 ($112) juta. Perangkaan ini menandakan lebihan pertama dalam sejarah negeri kota ini.[26] Disebabkan kadar pertumbuhan dan hasil cukai yang meningkat, Senat Berlin mengira peningkatan lebihan belanjawan pada tahun 2008. Jumlah belanjawan merangkumi anggaran jumlah €5.5 bilion yang dibiayai secara langsung oleh kerajaan Jerman atau Bundesländer.[27] Gara-gara perbelanjaan berlebihan kesan penyatuan semula, Berlin sebagai sebuah negeri Jerman menanggung hutang yang melebihi mana-mana bandaraya lain di Jerman, dengan anggaran terkini pada €60 bilion pada Disember 2007.[28]

Daerah perbandaran

Peta 12 daerah perbandaran di Berlin.

Berlin dibahagi kepada 12 daerah perbandaran atau boro (Bezirke), tetapi sebelum pembaharuan pentadbiran pada tahun 2001, terdapat 23 daerah perbandaran. Setiap daerah perbandaran dibahagi kepada beberapa ketempatan (Ortsteile) yang mewakili kawasan bandar tradisional yang dikaitkan oleh penduduknya. Sesetengah ketempatan ini pernah disusun semula beberapa kali selama ini. Kini, bandaraya Berlin terdiri daripada 95 ketempatan, setiap satunya terdiri daripada sebilangan kawasan tetangga bandar (dipanggil Kiez dalam loghat Berlin) yang merangkumi kawasan-kawasan perumahan kecil.

Setiap daerah perbandaran ditadbir oleh Majlis Daerah Perbandaran (Bezirksamt) yang terdiri daripada lima Kaunselor (Bezirksstadträte) dan Ketua Daerah (Bezirksbürgermeister). Majlis Daerah Perbandaran dipilih oleh Perhimpunan Daerah Perbandaran (Bezirksverordnetenversammlung). Kuasa kerajaan daerah adalah terhad dan tertakluk kepada Senat Berlin. Para ketua daerah membentuk Majlis Ketua (Rat der Bürgermeister) yang diketuai oleh Datuk Bandar Pentadbir yang menasihati Senat.

Bandar kembar

Berlin menjalin perkongisan rasmi dengan 17 buah bandaraya.[29] Pada zaman Perang Dingin, ketika Berlin dibelah dua, Berlin Barat berkongsi dengan ibu kota di Barat, manakala Berlin Timur mengutamakan ibu kota anggota Pakatan Warsaw dan sekutu-sekutunya. Setelah Jerman disatukan semula, perkongsian Berlin Timur terbatal lalu dijalin semula secara beransur-ansur.

Berikut ialah bandaraya kembar rasmi Berlin:[29]

Rujukan

Bibliografi

  • Gross, Leonard, The Last Jews in Berlin (Orang-orang Yahudi Terakhir di Berlin). Penerbitan Carroll & Graf, 1999. ISBN 0-7867-0687-2
  • Tertius Chandler, Four Thousand Years of Urban Growth: An Historical Census (Empat Ribu Tahun Pertumbuhan Bandar: Banci Sejarah). Edwin Mellen Pr, 1987. ISBN 0-88946-207-0
  • Ribbe, Wolfgang, Geschichte Berlins. Bwv - Berliner Wissenschafts-Verlag, 2002. ISBN 3-8305-0166-8
  • Gwertzman, M. Kaufman, The Collapse of Communism (Kejatuhan Komunisme), 1990.
  • Read, Anthony, dan David Fisher, Berlin Rising: Biography of a City (Kebangkitan Berlin: Biografi Bandar Raya). New York: W.W. Norton, 1994. ISBN 0-393-03606-5
  • Large, David Clay, Berlin. New York: Basic Books, 2001. ISBN 0-465-02632-X

Pautan luar

🔥 Top keywords: Khunsa (siri TV)Wanita SyurgaLelaki ItuLaman UtamaTakdir Itu Milik AkuKelawarKhas:CariAngeline TanDe FamPeribahasa MelayuSenarai peribahasa (A–M)Joseph KurupSheriffTelaga BarhutGayatri Su-Lin PillaiSarimah IbrahimBadarawuhi Di Desa PenariShahrulezad MohameddinYasmin AhmadMelitha SidabutarNabi Muhammad SAWPasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 MalaysiaZul AriffinAzira ShafinazPenjodoh bilangan bahasa MelayuInna lillahi wa inna ilaihi raji'unSophia AlbarakbahSiti Khadijah HalimSharisa HarisMandi wajibFarah AhmadProjek: High CouncilCik ManggisKementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup MalaysiaPerempuan Itu (drama)Yang di-Pertuan AgongMalaysiaPolis Diraja MalaysiaAisha Retno